|
|
PETALING JAYA - [DIKEMAS KINI] Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang sedang dirangka akan turut mengambil kira untuk memberi kelonggaran kepada penjawat awam wanita untuk bekerja dalam tempoh lebih pendek supaya dapat memberi perhatian lebih kepada keluarga.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kelonggaran itu, mungkin akan melibatkan kadar upah yang berbeza.
"Saya akan bincang dengan Ketua Setiausaha Negara dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam supaya diberi kelonggaran, walaupun dengan sedikit gaji yang kurang.
"Umpamanya biasanya kerja dari jam 8 pagi sehingga 5 petang, tetapi kalau bekerja mungkin selama empat jam, mengikut kadar upah mungkin kurang, tetapi kita boleh manfaatkan wanita yang merasa terdesak untuk jaga kepentingan anak-anak di rumah,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2024, di sini malam ini.
Turut hadir pada majlis sambutan itu isteri beliau, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri dan timbalannya Datuk Seri Dr Noraini Ahmad serta jemaah menteri.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata Malaysia akan menjadi negara pertama di dunia yang memberi kelonggaran seumpama itu kepada penjawat awam wanita, jika ia dapat direalisasikan.
Beliau berkata, perkara itu menuntut perubahan daripada pemikiran konvensional, memandangkan terdapat wanita yang terpaksa meninggalkan kerjaya mereka bagi memberi perhatian kepada keluarga. |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|