CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 338|Reply: 0

[Wilayah Persekutuan] Sebulan 'tidur' di kedai jahit!

[Copy link]
Post time 13-3-2024 12:13 PM | Show all posts |Read mode

SUHA (kiri) dan Muhammad Hafizi menyiapkan tempahan baju pelanggan untuk dipakai di pagi Syawal.

Kuala Lumpur: Tidur di kedai bermula awal Ramadan hingga malam raya antara kenangan tidak dapat dilupakan Suha Zainul sepanjang hampir sedekad mencari rezeki sebagai tukang jahit.

Anak keempat daripada enam beradik itu berkata, saban tahun dia akan menjadi 'penunggu kedai' sepanjang Ramadan kerana terlalu banyak tempahan menjahit baju raya yang diterima.

Suha, 33, yang menetap di Kampung Gajah, Perak berkata, keadaan itu menyebabkannya tiada masa bersahur mahupun berbuka puasa dengan keluarga di rumah.

"Waktu awal dulu (jadi tukang jahit) 'okey' lagi, tetapi lama kelamaan, tempahan baju raya semakin banyak.

"Disebabkan risau tempahan tak siap, saya ambil keputusan tidur di kedai saja sepanjang Ramadan.

"Mana tidaknya, dalam sehari saja saya perlu siapkan sekurang-kurangnya enam pasang baju, jadi tak boleh berlengah kerana nak pastikan pelanggan dapat menggayakannya pada pagi Syawal," katanya ketika dihubungi.

Suha berkata, ada ketikanya dia perlu berjaga sampai lewat malam dan awal pagi bagi memastikan baju yang ditempah pelanggan siap pada waktunya.

"Saya ambil tempahan awal, tetapi lagi dekat nak raya, lagi sibuk terutama bulan puasa, jadi ada kalanya dapat 'bernafas' waktu sahur dan berbuka sahaja.

"Nak lelap mata tak boleh lama walaupun penat kerana tahun ini saja, saya terima tempahan untuk jahit 160 pasang baju, tetapi mengenangkan niat nak cari rezeki, saya ketepikan semua itu," katanya yang juga lulusan Diploma Pengurusan Perniagaan Politeknik Seberang Perai, Pulau Pinang dan Sijil Kemahiran Malaysia dari GiatMara Pasir Salak, Perak.

Seorang lagi tukang jahit, Muhammad Hafizi Russeli, 26, berkata, kedatangan Ramadan menggamit banyak memorinya sejak kecil hingga dewasa.

Bagaimanapun salah satu kenangan yang tidak dapat dilupakan ketika bulan mulia itu adalah menyiapkan tempahan baju raya untuk tiga pelanggan plus size.

"Saya siapkan tempahan itu dekat akhir Ramadan dan hasilnya 'okey', cuma entah macam mana ia nampak seperti baju hujan.

"Tak pasti kenapa, tetapi mungkin kerana jenis kainnya sedangkan saya yang teman mereka beli kain itu," katanya.

Pemuda lulusan Diploma Perbankan Islam dari Politeknik Seberang Perai, Permatang Pauh, Pulau Pinang itu mengakui mungkin ada kesilapan dari pihaknya.

"Tetapi mujurlah pelanggan saya itu tak marah, malah mereka bertiga yang juga sepupu pakai baju dibuat pada pagi raya.

"Lucu bila diingat semula dan Ramadan sebenarnya waktu paling sibuk sampai jarang ada peluang ke bazar Ramadan dan berbuka dengan rakan di luar selain kena selalu berjaga sampai lewat malam atau awal pagi.

"Ikutkan sudah dua tahun saya tak tidur malam raya demi nak siapkan baju raya sendiri kerana saya kena dulukan baju raya pelanggan," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... idur-di-kedai-jahit
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

3-5-2024 09:56 PM GMT+8 , Processed in 0.054382 second(s), 26 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list