|
Muhammad Hafizuddeain (tengah) menyiram pokok Bucida selepas majlis pecah tanah Masjid Baharu 2 Briged di Kem Syed Putra, hari ini. - fotoBERNAMA
IPOH: Kes pukul membabitkan seorang anggota tentera yang bertugas Kem Resah, Seremban, oleh penyelianya diselesaikan secara dalaman apabila mangsa serta pelaku menarik kembali laporan polis.
Panglima Tentera Darat (TDM), Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan, berkata perkara itu diselesaikan secara baik oleh mangsa, pelaku dan keluarga mangsa yang berasal dari Kedah itu.
"Ada berlaku perselisihan faham dan apa yang dinyatakan dalam laporan sebelum ini sebenarnya tidak begitu tepat," katanya selepas Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Masjid Baharu 2 Briged di Kem Syed Putra, di sini, hari ini.
Pada 11 Mac lalu, Muhammad Hafizuddeain dilapor berkata, TDM menerima laporan berhubung dakwaan kes pukul itu dengan menyatakan siasatan telus sedang dijalankan.
Mengulas lanjut, Muhammad Hafizuddeain berkata, tidak semua perkara membabitkan perselisihan dalam kalangan warga TDM wajar dilaporkan kepada polis tanpa melalui sistem dalam pasukan.
"Kita hendak supaya ia menjadi iktibar kepada anggota atau pasukan-pasukan yang lain. Apa jua perselisihsan dan sebagainya, jangan kita terus mengambil keputusan untuk melapor kepada polis dan sebagainya.
"Di sana adanya perkara yang dinamakan sebagai hukuman medan bagi membetul dan mendisiplinkan anggota, tetapi tidak boleh disalah- gunakan oleh mana-mana pihak," katanya.
Mengenai pembinaan masjid baharu, Muhammad Hafizuddeain berkata, ia membabitkan kos RM5.5 juta dan mampu menampung sehingga 1,000 jemaah.
https://www.bharian.com.my/berit ... ra-dalaman-panglima |
|