CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 10063|Reply: 1

[Kedah] 'Mentang-mentanglah kami orang kampung, sewenangnya dipermainkan'

  [Copy link]
Post time 13-3-2024 06:13 PM | Show all posts |Read mode
'Mentang-mentanglah kami orang kampung, sewenangnya dipermainkan'


M Hifzuddin Ikhsan
hifzuddin@bh.com.my



Penduduk Kampung Darat, Hutan Kampung ketika ditemui di hadapan Pejabat PTG Kedah. Foto Ahmad Mukhsein Mukhtar




Alor Setar: Hampir 50 penduduk Kampung Darat, Hutan Kampung di sini, merayu campur tangan Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor bagi menyelesaikan isu hak milik tanah mereka yang gagal diselesaikan sejak 12 tahun lalu.

Wakil penduduk, Maznah Che Don, 61, berkata, tanah seluas kira-kira 0.6 hektar itu asalnya dibeli datuk mereka sekitar 1920-an melalui satu perjanjian yang disahkan kerajaan negeri, namun urusan tukar milik tidak dapat dilakukan kerana pemiliknya gagal dikesan.

Katanya, tapak tanah berstatus Tanah Rezab Melayu itu kini mempunyai dua kedai makanan, bengkel kenderaan dan sembilan rumah yang yang didiami ahli keluarga antara generasi ketiga hingga keenam.

"Isu ini mula diketahui pada 2012 apabila salah seorang ahli keluarga mahu membayar hasil tanah di Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Alor Setar, namun dimaklumkan cukai terbabit sudah dibayar individu lain tidak dikenali.

"Pemeriksaan kami kemudian di PTG mendapati nama pemilik tanah sudah berubah daripada nama pemilik asal yang menjual tanah berkenaan kepada datuk kami kepada pemilik baharu bukan Melayu.

"Pada 2014, kami menerima notis pengusiran pertama menyebabkan kes ini terpaksa difailkan peguam di Mahkamah Tinggi Alor Setar, namun selepas perbicaraan kami gagal mendapat kembali hak milik ke atas tanah berkenaan," katanya ketika ditemui di hadapan Pejabat PTG Kedah di sini, hari ini.

Maznah berkata, setiap ahli keluarga hanya berharap hak mereka selaku pemilik tapak tanah yang sah dikembalikan kerana percaya terdapat sesuatu yang 'pelik' dalam urusan tukar nama hak milik tanah berkenaan.

Katanya, paling meragukan adalah bagaimana tapak yang diletak di bawah status Tanah Rezab Melayu boleh ditukar kepada pemilik bukan Melayu sedangkan perbuatan itu dihalang mengikut undang-undang.

"Harapan kami adalah campur tangan kerajaan negeri melalui Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan Pengarah Tanah dan Galian Kedah bagi melakukan siasatan bagaimana tapak rumah kami dijual kepada pemilik bukan Melayu.

"Mentang-mentanglah kami orang kampung, tidak belajar tinggi, naif undang-undang, maka sewenangnya kami dipermainkan sehingga satu-satunya tanah yang kami ada kini terlepas kepada orang lain," katanya.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Abdul Aziz Md Nor, 72, berkata mereka bukan mahu menuntut pampasan atau bayaran, tetapi mahu hak sebagai pemilik tanah yang didiami ahli keluarga lebih 100 tahun dikembalikan.

Katanya, pada umurnya ketika ini, tidak ada tempat lain yang dapat dituju selain rumah yang dibina di atas tanah berkenaan yang menjadi satu-satunya harta yang dimilikinya.

"Kami bukan mahu diberikan pampasan oleh syarikat yang membeli kawasan ini. Ini tanah tempat saya dilahirkan, saya membesar, bersekolah dan sehingga berkeluarga di kampung yang diwarisi daripada 'tok wan' kami dahulu.

"Saya cuma harap perkara ini dapat diselesaikan sebelum 'tutup mata', kalau kena usir sekalipun saya hendak ke mana? Hanya tapak rumah ini harta yang saya harap dapat diturunkan kepada anak selepas ini," katanya.

Sementara itu, wakil penduduk terbabit menyerahkan surat memohon ulasan mengenai status Tanah Rezab Melayu yang mereka duduki kepada wakil Pengarah Tanah dan Galian di perkarangan Pejabat PTG Kedah.



Disiarkan pada: Mac 13, 2024 @ 4:38pm








Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 16-3-2024 01:37 PM | Show all posts
Hidup ni janganlah kita sesekali menganiaya orang
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

27-4-2024 03:28 PM GMT+8 , Processed in 0.053382 second(s), 27 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list