CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 5385|Reply: 0

[Pulau Pinang] Pengunjung dijamu 150 talam 'kurma kepala kambing' percuma

[Copy link]
Post time 17-3-2024 12:41 PM | Show all posts |Read mode
Pengunjung dijamu 150 talam 'kurma kepala kambing' percuma


Oleh Nur Izzati Mohamad - Mac 17, 2024 @ 12:06pm bhnews@bh.com.my




Hampir 600 pengunjung termasuk peniaga dijamu hidangan ‘kurma kepala kambing’ secara percuma dalam program ‘Iftar On The Road’ di Karnival Mahabbah di Bertam Square. - Foto NSTP/Danial Saad




KEPALA BATAS: Hampir 600 pengunjung termasuk peniaga di Karnival Mahabbah di Bertam Square, di sini dijamu hidangan 'kurma kepala kambing' secara percuma dalam program 'Iftar On The Road', semalam.

Ia begitu mengujakan mereka yang hadir apabila menu itu difahamkan tidak pernah ditemui di lokasi lain di negara ini sehingga menyebabkan semua tidak sabar merasai juadah berkenaan.

Penganjur program, Zaini Aboo Hassan, berkata idea menghidangkan menu itu tercetus ketika dia mengerjakan umrah Ramadan lalu.

"Ketika itu, saya membawa pemenang yang memenangi hadiah cabutan bertuah pakej umrah pada penganjuran karnival sebelumnya yang mana kami berkesempatan untuk berpuasa di sana.

"Di sana, kami melihat suasana berbuka puasa di kawasan Masjidil Haram yang dihidangkan dengan menu kepala kambing.

"Bezanya, kepala kambing di sana dimasak sekali dengan nasi tetapi untuk program ini kita ubah ikut cita rasa di sini yang kita masak nasi dengan lauk secara berasingan," katanya kepada pemberita, di sini, semalam.

Beliau berkata, pihaknya menyediakan 150 talam kurma kepala kambing yang setiap talam boleh dimakan antara empat ke lima orang termasuk menu sampingan lain, antaranya kurma telur bagi individu yang tidak memakan daging.

"Keseluruhannya hampir 600 individu dapat menjamah menu yang jarang ditemui yang saya fikir antara yang pertama di negara ini.

"Sambutannya amat memberangsangkan apabila kawasan hadapan pentas dipenuhi pengunjung yang datang berbelanja di karnival ini, selain peniaga yang turut memeriahkan suasana.

"Tambahan pula, kemudahan di sini lengkap dan pengunjung boleh menunaikan solat dengan selesa, bahkan kami turut menganjurkan solat tarawih berjemaah dipimpin tahfiz serta imam dari Syria dan Palestin," katanya.

Mengulas lanjut, Zaini berkata, pihaknya membuat tempahan kepala kambing segar sejak sebulan lalu bagi menjayakan program itu.

"Kita tidak menggunakan kepala kambing sejuk beku dan semuanya segar yang mana ia bukan mudah apabila kita mencari 20 ke 30 pembekal untuk dapatkan 150 ekor kepala kambing.

"Proses untuk penyediaan masakan juga hampir 24 jam yang kita terpaksa bakar kepala kambing, buang bulu, seterusnya untuk menjaga kebersihan kita cuci gigi, telinga dan sebagainya yang menu ini bukan mudah tetapi kita tetap mahu merealisasikannya," katanya.

Sementara itu, pengunjung Mohd Suhaide Hanafi, 44, berkata dia yang menetap di Sungai Petani, Kedah membawa isteri serta anak-anak membuat persiapan membeli baju raya di karnival berkenaan.

"Ini tahun kedua, saya membawa isteri dan anak-anak ke karnival ini. Program berbuka puasa ini saya pernah sertai tahun lalu tetapi kali ini tidak sangka mereka jamu kurma kepala kambing yang saya teruja dan tertarik dengan penyediaannya," katanya.







Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

27-4-2024 03:21 PM GMT+8 , Processed in 0.050378 second(s), 26 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list