CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 5073|Reply: 0

[Pulau Pinang] Majlis Peguam tidak seharusnya bersikap biadap

[Copy link]
Post time 17-3-2024 06:52 PM | Show all posts |Read mode
Majlis Peguam tidak seharusnya bersikap biadap


Oleh Audrey Dermawan - Mac 17, 2024 @ 6:27pm  bhnews@bh.com.my




Foto hiasan.




GEORGETOWN: Majlis Peguam tidak seharusnya bersikap 'kurang ajar' susulan ketetapan badan itu untuk memfailkan semakan kehakiman terhadap Lembaga Pengampunan berhubung keputusan mengurangkan separuh tempoh hukuman penjara ke atas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak atas sabitan kes rasuah SRC International.

Peguam Dr Shamsher Singh Thind berkata Lembaga Pengampunan hanya berperanan memberi nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong dan bukan membuat keputusan bagi pihak baginda.

"Jika anda (Majlis Peguam) tidak berpuas hati dengan keputusan membabitkan kes Najib itu, ini bermakna anda sebenarnya sudah mempersoalkan Yang-Dipertuan Agong dan Lembaga Pengampunan.

"Jika permohonan semakan kehakiman itu difailkan dan ia kemudian ditolak Mahkamah Tinggi dengan kos, saya harap 238 peguam yang menyokong usul berkenaan akan menanggung kos bayaran ditetapkan," katanya kepada New Straits Times, hari ini.

Beliau mengulas ketetapan Majlis Peguam yang mahu memfailkan semakan kehakiman terhadap hukuman diberikan kepada Najib dengan usul itu disokong 238 ahli pada pada mesyuarat agung tahunannya (AGM) semalam.

Presiden Majlis Peguam, Ezri Abdul Wahab dilaporkan berkata adalah menjadi tanggungjawab badan berkenaan untuk memfailkan semakan terhadap langkah pengampunan itu dalam menjaga kedaulatan undang-undang negara.

Pada 2 Februari lalu, Najib diberi pengurangan 50 peratus bagi hukuman penjara 12 tahun sedang dijalaninya sejak 2022 manakala denda perlu dibayar bekas Ahli Parlimen Pekan itu dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Najib pada 28 Julai 2020, disabitkan bersalah atas tujuh pertuduhan pecah amanah, salah guna kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd pada perbicaraan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Hakim Mahkamah Tinggi ketika itu, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.

Keputusan itu dikekalkan Mahkamah Rayuan pada 8 Disember 2021, kemudiannya Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos 2022.

Shamsher berkata, pihaknya tidak pasti sama ada 238 peguam terbabit sudah merujuk keputusan Mahkamah Rayuan bagi kes Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ahli Lembaga Pembebasan Wilayah Persekutuan v Mohd Khairul Azam Abdul Aziz (2023) 2 CLJ 236.

Keputusan itu, katanya, menjelaskan ia adalah kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong berdasarkan Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan dengan kuasa itu tidak terhad hanya kepada hukuman tetapi juga atas sabitan dan tidak boleh dipersoalkan di mahkamah.

Mahkamah Rayuan ketika membatalkan saman Mohd Khairul Azam Abdul Aziz, membenarkan rayuan Anwar dan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan mereka untuk membatalkan prosiding itu.

Panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan Datuk Has Zanah Mehat, memutuskan dakwaan Mohd Khairul Azam terhadap perayu jelas tidak kukuh kerana beliau tidak menyatakan sebarang alasan tindakan terhadap mereka.

Has Zanah dalam penghakimannya berkata Mohd Khairul Azam tidak berhak mempersoal pengampunan atau nasihat diberikan Lembaga Pengampunan kepada Yang-di Pertuan Agong dalam memberi pengampunan.

"Kuasa pengampunan adalah prerogatif Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Peguam tidak perlu merendahkan martabat mereka," katanya yang juga bekas ahli DAP.







Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

27-4-2024 08:14 PM GMT+8 , Processed in 0.064325 second(s), 26 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list