CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 4588|Reply: 0

[Kedah] Main wau dipasang lampu LED warna-warni waktu malam

[Copy link]
Post time 28-3-2024 01:37 PM | Show all posts |Read mode
Main wau dipasang lampu LED warna-warni waktu malam

OlehWAN MOHD NOOR HAFIZ WAN MANSOR

28 Mac 2024 12:22pm








Dua anak muda bersedia untuk menerbangkan wau masing-masing di Kampung Panchor, Pendang pada malam Rabu.




PENDANG - Cuaca panas yang melanda negara ini sejak beberapa bulan lalu menyebabkan sekumpulan anak muda di Kampung Panchor, dekat sini menukar aktiviti bermain wau dari waktu siang ke waktu malam.

Lebih menarik, wau-wau tersebut dipasangkan dengan lampu diod pemancar cahaya (LED) berwarna-warni bagi memudahkan wau dilihat ketika dinaikkan, selain kelihatan cantik semasa terbang tinggi di langit.


Penduduk di Kampung Panchor, Pendang bersedia untuk menaikkan wau masing-masing yang dipasang lampu LED pada malam Rabu.






Muhammad Ammar Mohd Kamal, 24, berkata, cuaca panas yang melanda menyebabkan aktitiviti seharian penduduk berubah termasuk bermain wau pada waktu malam.

Menurutnya, aktiviti tersebut yang pada mulanya disertai beberapa orang sahaja kini menarik penyertaan hampir 40 pemain yang rata-rata merupakan penduduk setempat dan kawasan sekitar.



“Idea bermula memandangkan sekarang bulan puasa. Cuaca agak panas pada siang, kami main waktu malam untuk cari kemeriahan sebab itu kami letak lampu, kalau main malam tidak ada lampu memang tak nampak wau itu.

"Kalau main wau pada waktu siang, cuaca agak panas, jam 6.30 petang masih panas. Sekarang jam 7.30 malam sudah masuk waktu berbuka, memang tidak sempat untuk bermain wau. Sebab itu kami main di malam hari untuk cari lagi kemeriahannya,” katanya semasa ditemui di Kampung Panchor pada malam Rabu.

Jelas Muhammad Ammar, wau tersebut diterbangkan sekitar jam 11 malam dan bermain antara tiga hingga empat jam.




Bagi Muhammad Firdaus Ahmad, 26, pula, kos murah sekitar RM10 digunakan bagi memasang bateri lampu LED menyaksikan ramai penduduk tidak mahu ketinggalan untuk memeriahkan aktiviti bermain wau tersebut.

Menurutnya, bateri lampu LED yang dipasang pada wau boleh bertahan sehingga empat hari.

“Cadangan kami adalah permainan ini diteruskan sehingga penghujung Ramadan dan mungkin akan dimainkan juga pada sepanjang musim sambutan Aidilfitri,” ujar beliau.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Komuniti Penduduk Kampung Panchor, Mohamad Mohd Saad, 65, berkata, aktiviti yang dicetuskan anak muda di kampung tersebut secara tidak langsung menambah seri di kawasan berkenaan sepanjang malam Ramadan.

Menurutnya, aktiviti bermain wau pada waktu malam ini juga secara tidak langsung juga dapat menjadi benteng kepada aktiviti tidak bermoral dalam golongan remaja.

“(Banyak faedahnya) kerana dapat mengeratkan hubungan antara masyarakat apabila ia turut melibatkan pengunjung daripada beberapa buah kampung berhampiran seperti Kampung Bechah, Kampung Charok Kudung dan Kampung Bukit Kechil.

“Anak-anak Kampung Panchor yang berada di perantauan juga tidak sabar untuk pulang ke kampung bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri tahun ini selepas melihat aktiviti bermain wau pada waktu malam sudah tular dalam laman media sosial,” kata beliau.



Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

27-4-2024 05:56 PM GMT+8 , Processed in 0.053228 second(s), 26 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list