CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 3557|Reply: 0

[Pulau Pinang] Anak derita 11 penyakit, 2 tahun keluarga tiada persiapan raya

[Copy link]
Post time 28-3-2024 02:08 PM | Show all posts |Read mode
Anak derita 11 penyakit, 2 tahun keluarga tiada persiapan raya


Siti Aminah Mohd Yusof
am@hmetro.com.my



KHADAR (kanan) bersama Iskandar Othman (dua, kiri) berbincang mengenai keadaan keluarga Muhamad Rodzi (kiri) dan isteri Siti Faizah (dua, kanan) bersama anak mereka. FOTO Aminah Yusof




Bukit Mertajam: "Jangan kata persiapan raya, duit untuk bayar zakat fitrah pun belum cukup," kata Muhamad Rodzi Harun, 48, yang diuji dengan pendapatan tidak menentu selepas terpaksa berhenti kerja untuk menjaga anaknya yang didiagnosis menghidap 11 penyakit sejak tiga tahun lalu.

Bapa tiga anak itu berkata, anak bongsunya, Siti Aisyah Fatimah, 3, mengalami masalah jantung, radang paru-paru, penyakit saraf tulang belakang, ekzema, cacat penglihatan serta pendengaran selain dilahirkan dengan keadaan kaki bengkok dan tapak kaki tidak rata atau 'clubfoot'.

Dia sebelum ini bekerja sebagai juruteknik selama 11 tahun di sebuah kilang di Bayan Lepas dan isteri, Siti Faizah Abu Bakar, 38, jururawat klinik kesihatan kerajaan turut mempunyai seorang anak autisme, Muhammad Adib Rayyan, 10, manakala anak kedua mereka, Muhamad Adib Rayan, 7, dilahirkan normal.

"Selepas berhenti kerja saya gunakan sedikit kemahiran pendawaian elektrik dan membaiki perkakasan elektrik secara sambilan.

"Selain itu saya menguruskan anak yang memerlukan penjagaan rapi terutama pada tahun pertama kerana pada masa itu anak bergantung pada alat bantuan pernafasan dan setiap tiga jam diberi minum melalui tiub susu," katanya ketika ditemui pada program Ceria Raya Seikhlas Budi anjuran Kelab Media Mutiara Pulau Pinang dan Yayasan Al Nasmir di sini, semalam.

Terdahulu pada majlis itu Pengarah Yayasan Al Nasmir, Datuk Khadar Shah Abdul Razak membelikan pakaian raya kepada keluarga berkenaan selain menyerahkan barangan keperluan harian seperti beras, susu, minyak masak, lampin pakai buang dan wang tunai selain berjanji menyalurkan sebanyak RM1,000 kepada keluarga berkenaan selama setahun.

Muhamad Rodzi berkata, kini doktor turut mengesyaki anaknya menghidap Sindrom Kabuki iaitu penyakit jarang jumpa berkaitan genetik yang dicirikan dengan pelbagai keadaan seperti keadaan wajah dan gangguan pertumbuhan yang bersifat multisistem.

"Akibat penyakit itu saya perlu mengubah posisi anak setiap 30 minit ketika dia tidur supaya tidak kekejangan.

"Setakat ini, anak saya Aisyah dapat bantuan zakat untuk menampung perbelanjaan perubatan mencecah RM1,200 sebulan," katanya yang tinggal menyewa di Flat Padang Tembak, Air Itam dekat sini.

Tambahnya, dia ada menerima tawaran kerja tetapi terpaksa menolak secara baik kerana tiada sesiapa sanggup menjaga anaknya selain dia turut memikirkan dua abang kepada Siti Aisyah turut perlu mendapat perhatian seimbang dan dididik dengan sebaiknya.

"Jadi, sejak pertengahan tahun lalu, saya buat kuih apam susu dan karipap untuk hantar ke gerai di Astaka Padang Tembak. Saya belajar dari YouTube. Saya bersyukur mereka sudi jual kuih saya dan ambil komisen 10 sen sahaja untuk sebiji kuih.

"Cuma sepanjang Ramadan gerai itu tidak beroperasi menyebabkan pendapatan terjejas hingga kami pernah kami beli beras timbang dua kilogram kerana tidak cukup wang untuk beli sekampit beras," katanya.

Sementara itu, Siti Faizah berkata, doktor beritahu, berapa lama Aisyah dapat bertahan turut bergantung dengan bagaimana cara dia dijaga, oleh itu dia dan suami tidak akan putus asa.

"Sebenarnya, tidak terlintas di fikiran untuk membuat persiapan raya sebab duit yang ada untuk kegunaan penting sahaja jadi kami tidak sangka dapat bantuan sebanyak ini dan terima kasih kepada semua yang membantu," katanya menahan sebak.



Disiarkan pada: Mac 28, 2024 @ 1:41pm






Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

27-4-2024 01:31 PM GMT+8 , Processed in 0.099268 second(s), 26 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list