CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 9736|Reply: 0

[Tempatan] Gajet punca anak-anak lambat bercakap

[Copy link]
Post time 29-3-2024 01:22 AM | Show all posts |Read mode
Edited by maklukpenggoda at 29-3-2024 01:24 AM

DIANGGARKAN 10 peratus daripada 400,000 kanak-kanak mengalami kelewatan perkembangan bahasa dan pertuturan di Malaysia

Dijangkakan jumlah kanak-kanak yang lambat bercakap semakin meningkat berikutan peningkatan kesedaran di kalangan ibu bapa selain didorong penggunaan skrin atau gajet yang tidak terkawal.

Secara umum anak yang lambat bercakap merujuk kepada anak yang masih belum mempunyai perkataan pertama sebelum usia 18 bulan.

Menurut Pegawai Pemulihan Perubatan Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia (HCTM), Sherin Sokmun, tanggapan ibu bapa dengan pemberian gajet kepada anak mereka membantu perkembangan bahasa, sebenarnya memberi implikasi yang sebaliknya.

Kata pakar pertuturan itu, kemahiran bahasa anak setakat meniru perkataan mahupun skrip yang diajar menerusi gajet tanpa mempelajari konteks sebenar penggunaan bahasa terbabit.

"Tindakan ibu bapa memberi anak mereka gajet dengan alasan mahu membantu perkembangan bahasa anak adalah tidak digalakkan.

"Anak itu bukan pelajari bahasa, sebaliknya hanya mahir meniru perkataan mahupun skrip yang diajar peranti tanpa memahami maknanya.

"Gaya komunikasi sebegini kebanyakannya adalah sehala iaitu hanya berhadapan dengan skrin yang tidak mempunyai emosi," katanya.

Tambah Sherin, kajian juga tidak menyokong ibu bapa menggunakan gajet sebagai pembelajaran bahasa atau komunikasi anak.

"Menurut satu kajian yang dijalankan untuk memantau 900 kanak-kanak berusia antara enam bulan sehingga dua tahun, mereka menemui perkara yang sangat membimbangkan.

"Kanak-kanak yang menghabiskan lebih masa bersama gajet akan lambat bercakap berbanding kanak-kanak yang tidak bersama gajet.

"Setiap kali kanak-kanak menggunakan 30 minit masa di hadapan skrin, risiko anak lambat bercakap akan meningkat kepada 49 peratus," katanya.

Ini merujuk kepada saranan American Academy Pediatrics bahawa kanak-kanak berumur dua tahun sehingga lima tahun seharusnya dihadkan waktu skrin sehari selama satu jam sahaja.

Kata Sherin lagi, tempoh setiap kanak-kanak menguasai kemahiran bertutur dengan baik mungkin berbeza untuk kanak-kanak perempuan atau lelaki.

Kanak-kanak lelaki sering dikaitkan dengan lambat bercakap dan penyataan ini adalah fakta.

Namun begitu, perlu diketahui kanak-kanak lelaki yang dikatakan lambat bercakap sebenarnya masih berada pada julat umur normal.

"Seperti kebanyakan orang tahu, kanak-kanak mula mempunyai perkataan pertama seawal usia sembilan bulan.

"Kebiasaannya, kanak-kanak perempuan memperoleh perkataan pertamanya di usia sembilan bulan berbanding kanak-kanak lelaki yang bermula sekitar usia 12 bulan sehingga 15 bulan.

Oleh kerana itu, jika ibu bapa yang mempunyai anak perempuan dan anak lelaki mereka akan mula membandingkan perkembangan bahasa sesama mereka. Kesannya anak lelaki mungkin kelihatan 'lewat' berbanding anak perempuan," katanya.

Pakar itu juga tidak menolak faktor itu turut dipengaruhi cara kanak-kanak bermain. Kanak-kanak perempuan dikaitkan dengan permainan main peranan ('playrole') seperti masak-masak, pondok-pondok dan banyak lagi.

Semua permainan ini memerlukan interaksi dan komunikasi. Contoh dalam permainan masak-masak, kanak-kanak perempuan akan mengajuk cara ibunya memotong sayur, menjaga adik, memasak lauk atas kuali dan menukarkan pakaian.

Kebanyakan perbuatan dalam permainan kanak-kanak perempuan akan bersulam dengan penggunaan ayat. Sekiranya dilakukan secara berulang-ulang, kebolehan bercakap akan menjadi semakin lancar.

Lain pula dengan kanak-kanak lelaki yang kebanyakannya cenderung untuk melakukan pergerakan fizikal seperti berlari, melompat, berpusing, memanjat, membaling, menolak dan menaiki kereta mainan.

Menerusi aktiviti ini, kanak-kanak lelaki turut dikaitkan dengan kurangnya daya tumpuan terutamanya dalam proses pembelajaran bahasa.

Justeru dalam membantu anak yang lewat perkembangan bahasanya, Sherin berkongsi teknik M.U.D.A.H boleh dipraktiskan ibu bapa terhadap kanak-kanak terbabit.

Berikut adalah teknik dikongsi pakar terbabit:

M -Mudah
Penggunaan ayat yang mudah, menarik bagi anak rasa mudah untuk faham, meniru dan menghasilkannya. Contoh : bunyi binatang 'meow,' 'moo' dan sebagainya

U -Ulang dan ulang
Ibu bapa perlu mengulang perkataan dipelajari sekurang-kurangnya tujuh kali dalam satu-satu situasi atau keadaan. Ia memudahkan anak untuk memproses, mengingat dan menghasilkannya. Contoh 'wah,' 'roti Ini roti,' 'roti sedap,''nyum-nyum,' 'roti lembut,' 'jom makan roti' (sambal tunjuk roti).

D -Diam
Diam seketika, untuk memberi peluang kepada anak memberi maklum balas atau reaksi.

A -Ayat penyata
Ibu bapa perlu lebih menggunakan ayat penyata dan jangan 'mengasak' anak dengan soalan yang bertubi-tubi.

H -Hargai
Hargai anak dengan pujian yang spesifik seperti mengungkapkan perkataan 'pandai adik duduk atas kerusi.' Anda juga perlu lebih peka pada reaksi anak. Ada kalanya anak anda hanya menyampaikan mesej bukan lisan atau gerak tubuh sahaja.


This post contains more resources

You have to Login for download or view attachment(s). No Account? Register

x
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

27-4-2024 11:47 PM GMT+8 , Processed in 0.062438 second(s), 28 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list