Edited by maklukpenggoda at 16-4-2024 12:31 AM
Pasir Mas: Lelaki maut selepas tertimbus tanah pada kedalaman 6.1 meter (m) ketika menggali telaga di Kampung Gelam Tok Uban, di sini, petang hari ini.
Dalam kejadian 6.17 petang itu, mangsa Mohamad Khairul Jeffry Maarof, 23, ditemui oleh pasukan bomba dibantu orang awam menggunakan jengkaut pada 7.15 malam..
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Mas, Mohd Azmi Hussin, berkata pihaknya menerima panggilan telefon daripada orang awam dan bergegas ke lokasi kejadian sebelum mendapati terdapat mangsa tertimbus.
"Mangsa yang disahkan meninggal dunia oleh pegawai kesihatan sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
"Seramai 10 anggota bomba membantu mencari mangsa yang tertimbus selain turut dibantu oleh beberapa penduduk kampung," katanya.
Sementara itu, Ahmad Syafiq Mohd Noor, 28, berkata dia adalah salah seorang daripada empat orang awam yang membantu menggali tanah tertimbus untuk menyelamatkan mangsa.
"Mangsa diupah oleh abang saya untuk menggali telaga di kebunnya dan ia sudah hampir siap, namun tidak menyangka insiden ini berlaku sehingga meragut nyawa Khairul yang juga saudara kami.
"Kami cuba sedaya upaya menggali tanah untuk menyelamatkan mangsa namun gagal sebelum dibantu oleh anggota bomba.
"Pilu hati saya melihat isteri serta seorang anaknya yang masih kecil menangis melihat sekujur tubuh yang sudah tidak bernyawa.
"Arwah dikenali sebagai seorang yang sangat rajin bekerja dan sudah biasa membuat kerja menggali telaga untuk menampung kehidupan dia sekeluarga," katanya.
|