PERKONGSIAN foto bersama isteri semasa meraikan Aidilfitri baru-baru ini menarik perhatian netizen sehingga timbul spekulasi.
Menjawab mengenai perkara itu, Imran atau Mohammad Imran Aqil Mohd Salehuddin, 25, berkata buat masa ini isterinya masih belum berbadan dua dan baby bump didakwa itu merupakan kesan buncit akibat makanan.
Malah, gara-gara komen netizen itu, Imran memberitahu Dahlia mengajaknya untuk pergi bersenam di gimnasium.
"Tidak sama sekali (hamil), itu hanya ketupat bump. Ini dia ajak saya pergi gym," katanya ketika dihubungi mStar pada Selasa.
Dalam pada itu, Imran turut memberitahu dia dan isteri tidak terasa hati dengan komen berkenaan, namun menasihati netizen agar tidak membuat spekulasi sendiri.
Kata Imran, sekiranya Dahlia benar-benar hamil, mereka sendiri akan berkongsi berita gembira itu kepada pengikut di media sosial.
"Kalau ikutkan kami tak kisah, lebih-lebih lagi Dahlia. Cuma kadang-kadang netizen tidak perlu untuk menegur ada baby bump atau tidak kerana kami akan maklumkan kepada semua jika betul isteri saya mengandung.
"Kadangkala rasa tak syok juga, kita muat naik gambar saja-saja tapi ada yang komen fasal baby bump sedangkan itu hanya buncit," ujarnya.
Sebelum ini, Dahlia memuat naik foto bersama Imran mengenakan persalinan sedondon rona hitam di aplikasi TikTok ketika meraikan Aidilfitri bersama.
Foto tersebut mendapat perhatian ramai apabila ada yang mendakwa Dahlia kini sedang berbadan dua.