|
SALAH berjaya meledak gol tunggal perlawanan menerusi sepakan penalti, namun gagal membantu Liverpool mara ke separuh akhir. - AFP
BERGAMO – Hasrat Liverpool untuk mencipta magis melangkah ke separuh akhir Liga Europa gagal ditunaikan apabila tersingkir selepas tewas 1-3 secara agregat kepada pasukan Serie A, Atalanta.
Pada aksi timbal balik di Stadium Gewiss awal pagi semalam, The Reds mencatat kemenangan 1-0 menerusi sepakan penalti Mohamed Salah, tetapi ia masih belum mencukupi untuk mereka mara ke pusingan seterusnya.
Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp percaya pasukan tuan rumah layak untuk melangkah ke separuh akhir selain menganggap kekalahan 0-3 pada aksi terdahulu menjadi punca kegagalan mereka.
“Memang jelas bahawa kami sendiri yang menyebabkan pasukan berdepan situasi sukar seperti ini. Bagaimanapun, saya gembira dengan aksi ditampilkan semua pemain yang menunjukkan kemahuan cukup tinggi.
“Kami menang pada perlawanan hari ini (semalam) dan itulah reaksi yang saya mahu lihat daripada semua pemain. Semua orang tahu ia bukan aksi yang mudah dan mereka (Atalanta) lebih layak untuk menang,” katanya.
Pengendali dari Jerman itu turut menjelaskan, penyingkiran daripada saingan Liga Europa membolehkan mereka untuk memberi fokus sepenuhnya terhadap perebutan takhta Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan Arsenal dan Manchester City.
“Apa yang kami akan buat sekarang adalah memberikan sepenuh perhatian terhadap aksi liga. Saya harap pemain-pemain sempat pulih sepenuhnya menjelang pertemuan dengan Fulham hujung minggu ini,” ujar Klopp. – AGENSI
https://www.kosmo.com.my/2024/04 ... ool-tidak-bermakna/ |
|