Langkawi: Mahkamah Sesyen di sini, hari ini menjatuhkan hukuman denda RM22,000 dan penjara tiga bulan ke atas lelaki warga Amerika Syarikat (AS) kerana memiliki bahan pornografi dan tinggal lebih masa di negara ini.
Hakim Helmi Ghani juga menetapkan tertuduh, David Matthew Frahm, 46, hukuman penjara 12 bulan jika dia gagal membayar denda itu.
Terdahulu tertuduh mengaku bersalah terhadap pertuduhan dihadapinya iaitu memiliki bahan pornografi kanak-kanak bermula dari tarikh dia ditangkap pada 15 Februari lalu.
Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa memiliki bahan pornografi kanak-kanak dan video lucah di dalam komputer riba di sebuah kediaman di Chogm Villa, Jalan Seri Legenda di sini, 7.10 malam pada 15 Februari lalu.
Berikutan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 10 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara maksimum lima tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali.
Tertuduh turut mengaku salah atas pertuduhan mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal melebihi masa ditetapkan di negara ini iaitu selama 1,380 hari.
Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Farhan Aliff Ahmad, manakala tertuduh diwakili peguam, Cheow Wee dan Alvin Lau.
Sementara itu, tertuduh membayar denda berkenaan di kaunter Kompleks Mahkamah Langkawi.