Edited by stingerkaypoh at 22-5-2024 09:34 AM
PETALING JAYA: Dr Mahathir Mohamad mendakwa beliau tidak diberi notis bahawa Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Batu Puteh, Batuan Tengah, dan Tubir Selatan akan diadakan hari ini.
Bekas perdana menteri itu juga mendakwa prosiding itu dijalankan secara tertutup.
Katanya, undang-undang mewajibkan kehadirannya atau peguamnya sepanjang prosiding itu berjalan sehingga ia selesai.
“Bagaimana saya mahu menerang, memberi penjelasan atau mempertahan diri jika saya atau peguam saya tidak dibenarkan hadir sepanjang prosiding itu berlangsung,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Mahathir, bantahan oleh peguamya, Rafique Rashid Ali dan Zainur Zakaria, ditolak.
Mahathir menyoal kenapa prosiding RCI itu diadakan secara ‘sembunyi-sembunyi’ sedangkan ia telah diumumkan secara terbuka.
Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 2008 mengisytiharkan Batu Puteh milik Singapura, Batuan Tengah milik Malaysia, dan Tubir Selatan menjadi hak kepada negara perairannya berada.
Malaysia memohon kepada ICJ supaya mentafsirkan penghakiman pada 2017.
Pada 2018, pentadbiran Pakatan Harapan yang dipimpin Mahathir menarik balik permohonan semakan dan pentafsiran penghakiman Batu Puteh.
FreeMalaysiaToday
|