Edited by stingerkaypoh at 25-5-2024 08:47 AM
LONDON – Parti-parti politik mula melakukan persiapan selepas Perdana Menteri Rishi Sunak membuat kejutan apabila mengumumkan Britain akan mengadakan pilihan umum pada 4 Julai ini.
Akhbar Metro UK melaporkan, Sunak membuat pengumuman itu ketika cuaca hujan di pejabat Perdana Menteri, Downing Street petang kelmarin.
“Kestabilan ekonomi yang dinikmati hari ini hanyalah satu permulaan. Persoalannya, siapakah anda (rakyat) percayai yang dapat mengubah asas ini menjadi masa depan yang terjamin untuk anda, keluarga dan negara kita?
“Sekarang masa untuk rakyat Britain memilih masa depan mereka, memutuskan sama ada mahu mengembangkan kemajuan yang dicapai ini atau mengambil risiko kembali ke titik asal tanpa rancangan atau kepastian,” kata Sunak.
Terdahulu, anggota-anggota Kabinet yang tiba di kediaman rasmi Sunak dimaklumkan bahawa beliau telah menghadap monarki Britain, Raja Charles III untuk membubarkan Parlimen supaya pilihan raya umum boleh diadakan dalam masa enam minggu.
Sebelum ini, banyak pihak menjangkakan pilihan raya Britain itu akan diadakan pada November ini, manakala pemerhati-pemerhati menjangkakan Sunak akan menunggu lebih lama menjelang Januari 2025.
Namun, beliau mengumumkan tarikh pilihan raya awal dengan mempertaruhkan situasi positif ekonomi negara untuk meraih undi.
Pagi kelmarin, Pejabat Perangkaan Kebangsaan mengumumkan bahawa kadar inflasi Britain menurun kepada 2.3 peratus berbanding 3.2 peratus yang direkodkan pada Mac lalu.
Bagaimanapun, parti pemerintah yang dipimpin Sunak iaitu Parti Konservatif masih berdepan cabaran sengit untuk mengekalkan kuasanya.
Beberapa kaji selidik terbaru yang menyelidiki hasrat rakyat Britain menunjukkan parti pembangkang, Parti Buruh mendahului parti pemerintah dengan 27 mata peratusan.
Tinjauan baharu melibatkan lebih 1,000 orang dewasa juga mendapati 43 peratus responden berpendapat bahawa pemimpin Parti Buruh, Keir Starmer akan menjadi perdana menteri yang lebih baik daripada Sunak.
Pilihan raya umum kali ini juga adalah yang pertama diadakan pada bulan Julai sejak 1945. Pemilihan kali ini menjadi ujian pertama buat Sunak selepas beliau dilantik sebagai ketua Parti Konservatif merangkap Perdana Menteri pada Oktober 2022.
Beliau menggantikan Lizz Truss yang meletakkan jawatan hanya 49 selepas menduduki kerusi Downing Street.
Sunak, 44, membentangkan partinya, Parti Buruh sebagai pilihan selamat buat rakyat Britain ketika dunia berubah menjadi semakin berbahaya.
Beliau berjanji akan berjuang mendapatkan ‘walaupun satu undi’ untuk menjadikan partinya pilihan nombor satu rakyat Britain.
Sementara itu, Starmer bertindak balas pantas dengan menerbitkan video kempen mengatakan partinya akan menghentikan ‘huru-hara’ semasa pemerintahan Parti Konservatif dan membina semula Britain.
“Jika mereka (Parti Konservatif) dapat (mentadbir) lima tahun lagi, mereka akan berasa berhak untuk meneruskan agenda sekarang. Tiada apa-apa akan berubah,” kata Starmer yang merupakan bekas peguam hak asasi manusia dan ketua pendakwa raya.
Susulan pengumuman tersebut, Parlimen Britain akan menggantung sesi persidangan bermula semasanya esok sebelum dibubarkan secara rasmi Khamis depan. – AFP/AGENSI
|