|
MERCEDES bersedia membina jentera yang terbaik bagi memastikan usaha memancing Verstappen berjaya. - AFP
MONTE CARLO – Ketua Pasukan Mercedes, Toto Wolff tidak berselindung lagi apabila menyatakan minatnya bagi mendapatkan khidmat juara dunia, Max Verstappen dari seteru utama, Red Bull.
Mercedes memiliki satu kekosongan musim depan selepas juara dunia tujuh kali, Lewis Hamilton mengumumkan bakal meninggalkan pasukan itu penghujung musim ini dan menyertai Ferrari.
Justeru, Wolff sedia untuk mengambil kesempatan atas situasi huru-hara dalam kem Red Bull pada ketika ini atas tuduhan salah laku yang dikenakan ke atas ketua pasukan itu, Christian Horner.
Bagaimanapun, beliau percaya pasukan Silver Arrows itu perlu membina satu jentera yang mampu mencabar kejuaraan dunia sekiranya tidak mahu berdepan sebarang masalah memancing khidmat Verstappen.
“Max (Verstappen) tidak akan menyertai mana-mana pasukan yang tidak memiliki jentera kompetitif. Buat masa ini, pasukan kami tidak begitu kompetitif untuk mendapatkan khidmat juara dunia sepertinya.
“Kita tunggu dan lihat apa yang akan berlaku dalam tempoh beberapa bulan akan datang. Saya percaya kami boleh menjadi lebih kompetitif tetapi saya enggan terburu-buru kerana menunggu waktu yang tepat,” katanya. – AGENSI
https://www.kosmo.com.my/2024/05 ... up-demi-verstappen/ |
|