Lexus Malaysia bawa masuk LM baharu bermula RM1.228 juta
Oleh Nur Amira Mohd Hedzer - Mei 27, 2024 @ 2:40pm
[email protected]
Lexus LM baharu - NSTP/GENES GULITAH
SHAH ALAM: Lexus Malaysia membawa masuk Lexus LM500 dan Lexus LM350h ke pasaran tempatan yang masing-masing ditawarkan pada harga bermula daripada RM1.228 juta dan RM1.468 juta.
Dengan fokus untuk menyediakan keselesaan sambil meningkatkan kesejahteraan penumpang melalui hospitaliti mudah alih yang terbaik, Lexus LM menetapkan penanda aras bagi pelanggan yang mencari kenderaan terkemuka untuk memenuhi kedua-dua keperluan gaya hidup dan mobiliti.
Sejak pelancarannya, kenderaan pelbagai guna (MPV) mewah ini mencatatkan jualan yang mengagumkan dengan 16,114 unit terjual di seluruh dunia setakat ini.
Sementara itu, rekod jualannya di rantau ini adalah 2,788 unit, dengan 32 unit adalah di Malaysia. Angka itu dijamin akan terus meningkat dengan pelancaran model unggulan baharu di negara ini.
Lexus LM ditawarkan dalam dua varian -NSTP/GENES GULITAH
Bagi memenuhi keperluan pelanggan, Lexus LM baharu kini tersedia dalam dua varian pilihan.
Pelanggan boleh memilih mobiliti empat tempat duduk, manakala Lexus LM500 dengan tempat duduk 2-2 atau LM350h tujuh tempat duduk yang menawarkan tahap pemanduan keluarga yang baharu dengan konfigurasi tempat duduk 2-2-3.
Presiden Lexus Malaysia, Datuk K Ravindran, berkata Lexus LM sentiasa menjadi simbol kejayaan bagi pelanggan yang ingin merasai bentuk pengangkutan mewah yang lebih tinggi.
Kedua-dua varian ini mempunyai rangkaian kuasa kenderaan elektrik hibrid (HEV) dengan pengecasan sendiri. LM500h dilengkapi enjin petrol turbo hibrid sebaris 2.4L, 371hp dan tork setinggi 460Nm pada paip serta model ini memberikan prestasi langsung dan penjimatan bahan api.
Ruang dalaman mewah Lexus LM baharu -NSTP/GENES GULITAH
LM350h pula didatangkan dengan 2.5L aspirasi semula jadi, empat silinder dalam talian hibrid penuh. Reka bentuk luaran baharu Lexus LM menampilkan corak dengan butiran yang mewah, termasuk penampilan hadapan baharu.
Lexus LM baharu mempunyai rim aluminium 19 inci dan tersedia dalam empat warna luaran iaitu Graphite Black Glass Flake, Sonic Titanium, Sonic Quartz dan Sonic Agate.
Seterusnya, kenderaan itu menyediakan kemudahan tambahan di mana kedua-dua pintu penumpang belakang mempunyai suis jenis 'see-saw' untuk memberikan kebolehgunaan intuitif.
Pegangan pintu hadapan luar juga menggunakan sistem e-Latch dengan fungsi 'Safe Exit Assist' (SEA), yang membantu mengurangkan pelanggaran yang tidak diingini oleh kenderaan yang mendekati dari belakang.
|