|
"Kalau tengok keadaan di Syria, sama sahaja seperti di Palestin.
"Bila saya bersama Cinta Syria Malaysia sampai di sana, saya nampak kehidupan mereka sangat susah," kata penyanyi Zizi Kirana ketika diminta mengulas misi kemanusiaan ke Syria yang disertainya pada Ramadan lalu.
Kata Zizi atau nama sebenarnya, Nur Fazelah@Zizie Mad Tahil, 39, misi kemanusiaan selama lima hari ke Syria buat kali pertama itu banyak membuka matanya untuk lebih bersyukur dengan keamanan yang dikecapi di negara ini.
"Kita kurang tahu keadaan di Syria kerana mereka tidak mendapat banyak pendedahan kerana banyak berita disekat.
"Bila saya dan pasukan Cinta Syria Malaysia sampai di sana, kami mendapati mereka tinggal dalam khemah kecil dengan keadaan tilam lusuh dan tiada bantal.
"aling sedih, mereka menjemur roti dan nasi serta keringkan di bawah cahaya matahari supaya tidak berkulat dan basi dan boleh dimakan berkali-kali," katanya kepada Harian Metro ketika ditemui di majlis bacaan Yassin dan pelancaran Tabung Bersamamu Rafah 2024 di sini, baru-baru ini.
Kata Zizi lagi, kehidupan rakyat Syria juga jauh berbeza dengan kita di sini.
"Kita di sini makan sedap-sedap, bila tak habis, buang begitu sahaja.
"Mereka di sana pula sangat menghargai makanan. Walaupun hidup susah, mereka gembira dan tidak meminta-minta," katanya yang mendapat kebenaran suami, pelakon Yusuf Bahrin untuk menyertai misi kemanusiaan berkenaan.
Sementara itu, mengenai jenama pro-Israel pula, kata Zizi, dia tidak lagi memakai jenama terbabit dan sudah beralih kepada produk tempatan.
"Saya juga sudah bertukar barangan seperti pencuci muka dan alat solek kepada produk tempatan.
"Saya juga tidak lagi minum Milo yang juga minuman kegemaran dulu. Saya juga beritahu suami, tak mati pun kalau tak minum.
"Kita lakukan semampu boleh.Jangan beli barangan yang menyalurkan pendapatan kepada mereka. Usaha ini mungkin nampak kecil tapi Insya-Allah, akan menjadi saksi di akhirat nanti,"katanya yang terbabit dalam lagu Bersamamu Rafah.
Sumber : Harian Metro |
|