|
Jurulatih Real Madrid, Carlo Ancelotti sudah mengutip empat kejuaraan Liga Juara-Juara sebagai pengurus, masing-masing dua bersama AC Milan dan Los Blancos.
MADRID: Pemain bintang Real Madrid biasanya mencuri tumpuan tajuk utama akhbar tetapi secara tenang mengemudi satu lagi kejayaan Liga Juara-Juara adalah jurulatih Carlo Ancelotti.
Jika Real Madrid menundukkan Borussia Dortmund di Wembley awal pagi Ahad ini, Ancelotti boleh muncul jurulatih pertama menjulang trofi itu lima kali.
Pengendali dari Itali itu sudah muncul pengurus paling dihormati dalam sejarah kejohanan itu, menang dua kali bersama AC Milan pada 2003 dan 2007 serta dua kali lagi bersama Madrid pada 2014 dan 2022.
Bersama Madrid, Ancelotti mengatasi pencapaian pengurus Liverpool, Bob Paisley dan jurulatih terdahulu Madrid, Zinedine Zidane yang masing-masing mengumpul tiga trofi, untuk muncul "Mister Champions."
Ancelotti memenangi pertandingan itu dua kali sebagai pemain bersama Milan, namun eksploitasinya sebagai jurulatih menjadi sesuatu yang legenda, di samping caranya meraikan kejayaan merangkul trofi baru-baru ini – berkaca mata hitam selain cerut di tangan.
Jurulatih itu, yang akan genap 65 tahun pada 10 Jun depan, dikagumi oleh pemainnya hasil "kepimpinan tenang", yang juga menjadi tajuk autobiografinya.
Ancelotti tahu bagaimana untuk memulihkan pemainnya sekalipun dalam keadaan sukar.
Pemain Real Madrid, Eduardo Camavinga, Toni Kroos, Rodrygo dan Vinicius Junior menjalani latihan menjelang final Liga Juara-Juara menentang Borussia Dortmund di Wembley awal pagi Ahad ini. – Foto AFP
Penyerang Brazil, Rodrygo Goes mengharungi kemarau jaringan di depan pintu gol tetapi Ancelotti terus menyokongnya.
"Ada masanya anda menjaringkan gol setiap kali anda menyentuh bola dan ada masanya anda banyak melakukan percubaan tetapi gagal," kata Ancelotti pada November lalu. "Ia akan berlalu pergi."
Dengan Ancelotti menyatakan keyakinannya, Rodrygo tidak panik dan akhirnya menemui semula sentuhan jaringannya.
Vinicius Junior seorang lagi pemain yang bergelut namun dengan bimbingan Ancelotti dia kembali menemui tahap terbaiknya pada masa yang tepat.
"Ia sudah diselesaikan," kata Ancelotti. "Dia mempunyai bakat hebat dan mempunyai kualiti hebat pergerakan tanpa bola."
Mencipta perasaan sebegitu bersama pemainnya membantu mereka menerima sebarang keputusannya.
Pemain tengah Eduardo Camavinga dan Aurelien Tchouameni kedua-duanya pernah diturunkan di benteng pertahanan beberapa kali namun mereka langsung tidak merungut. – AFP
https://www.bharian.com.my/sukan ... an-liga-juara-juara |
|