|
KOMPANY mengikat kontrak selama tiga tahun dengan Bayern. FOTO AGENSI
Munich: Pencarian Bayern Munich untuk mengisi jawatan ketua jurulatih berakhir dengan gergasi Jerman itu menamakan Vincent Kompany sebagai pengurus menerusi satu keputusan mengejut awal pagi tadi.
Bekas bintang Belgium berusia 38 tahun itu, yang sebelum ini gagal memastikan Burnley kekal di Liga Perdana, menandatangani kontrak tiga tahun di Allianz Arena.
Kebiasaannya mencari nama-nama besar, Bayern mencari selama berbulan-bulan tetapi tawaran mereka ditolak oleh beberapa calon selepas musim pertama tanpa trofi dalam tempoh 12 tahun.
Selepas gagal untuk memikat bos Bayer Leverkusen Xabi Alonso; jurulatih Jerman, Julian Nagelsmann dan Ralf Rangnick dari Austria, Bayern cuba mengekalkan Thomas Tuchel, yang telah bersetuju pada Februari lalu untuk meninggalkan kelab itu pada musim panas.
Tuchel bagaimanapun mengumumkan pada Mei dia 'tidak boleh bersetuju dengan syarat' untuk kekal bersama kelab dan akan 'berpegang kepada perjanjian pada Februari'.
Bayern kemudian memutuskan untuk mendapatkan khidmat Kompany, mengambil risiko terhadap jurulatih kurang berpengalaman bagi satu daripada tugas paling besar dalam bola sepak.
"Saya tidak sabar menantikan cabaran di Bayern. Ia satu penghormatan besar untuk dapat bekerja bersama kelab ini. Bayern adalah sebuah institusi dalam bola sepak antarabangsa," kata Kompany dalam satu kenyataan.
"Kini saya melihat kepada perkara asas iaitu bekerja dengan pemain, membina pasukan. Apabila asasnya betul, kejayaan akan menyusul," katanya lagi.
https://www.hmetro.com.my/arena/ ... -sah-bimbing-bayern |
|