|
Pemain Belanda termasuk Memphis Depay (dua dari kanan) menghadiri sesi latihan skuad kebangsaan menjelang Euro 2024 di The KNVB Campus di Zeist, Belanda semalam. – Foto AFP
AMSTERDAM: Jurulatih Belanda, Ronald Koeman akan mempertaruhkan kecergasan tonggak tengah Frenkie de Jong dan penyerang Memphis Depay selepas menyenaraikan dua pemain itu dalam skuad terakhir 26 pemain bagi Kejohanan Eropah di Jerman bulan depan.
Kedua-duanya bergelut dengan kecederaan akhir-akhir ini tetapi UEFA membesarkan saiz skuad daripada 23 kepada 26 pemain bagi pusingan akhir Euro 2024 dari 14 Jun hingga 14 Julai.
Ia juga satu risiko diambil Koeman ketika beliau memburu kemenangan pertama di peringkat benua sejak kejayaan skuad 1988, kejohanan yang mana beliau turut beraksi.
"Frenkie akan melapor diri Sabtu ini, tetapi semuanya baik-baik belaka. Perlawanan pertama peringkat kumpulan (menentang Poland di Hamburg pada 16 Jun) ada peluang buatnya (untuk beraksi)," kata Koeman kepada wartawan semalam.
"Kami berdepan kitaran bermasalah dengan banyak kecederaan. Anda membuat pilihan dan kadang-kadang ia sukar."
Frenkie de Jong ketika menghadiri sidang akhbar bersama Barcelona dalam Liga Juara-Juara beberapa bulan lalu. – Foto REUTERS
Tiada tempat buat pemain pertahanan kiri yang belum beraksi, Ian Maatsen, yang akan tampil bersama Borussia Dortmund menentang Real Madrid pada final Liga Juara-Juara awal pagi Ahad ini dan dijangka menjadi sebahagian daripada skuad itu.
"Ia mengambil masa untuk memikirkannya, apakah detik terbaik? Dia akan beraksi pada final Liga Juara-Juara Sabtu ini (awal pagi Ahad). Dia kecewa, ia sesuatu yang biasa," kata Koeman.
"Alasannya adalah terdapat beberapa pemain di posisinya dan mereka diberi keutamaan. (Nathan) Ake, (Micky) Van de Ven dan (Daley) Blind. Ia memberi saya peluang untuk membawa seorang penyerang tambahan."
Quinten Timber dan penjaga gol Nick Olij turut diketepikan di samping pemain tengah Atalanta yang cedera Marten de Roon, memberi peluang kepada pemain Liverpool, Ryan Gravenberch untuk kembali ke dalam pasukan buat kali pertama dalam tempoh lebih setahun.
Belanda turut berdepan Perancis dan Austria dalam Kumpulan D dan akan bertemu Kanada (6 Jun) dan Iceland (10 Jun) pada perlawanan persahabatan pemanas badan di laman sendiri sebelum berlepas ke Jerman. – REUTERS
SKUAD BELANDA
Penjaga gol: Justin Bijlow (Feyenoord), Mark Fleken (Brentford/ENG), Bart Verbruggen (Brighton/ENG).
Pertahanan: Nathan Ake (Manchester City/ENG), Daley Blind (Girona/ESP), Stefan de Vrij (Inter Milan/ITA), Lutsharel Geertruida (Feyenoord), Denzel Dumfries (Inter Milan/ITA), Matthijs de Ligt (Bayern Munich/GER), Jeremy Frimpong (Bayer Leverkusen/GER), Micky van de Ven (Tottenham Hotspur/ENG), Virgil van Dijk (Liverpool/ENG).
Tengah: Frenkie de Jong (Barcelona/ESP), Ryan Gravenberch (Liverpool/ENG), Teun Koopmeiners (Atalanta/ITA), Tijjani Reijnders (AC Milan/ITA), Jerdy Schouten (PSV Eindhoven), Xavi Simons (RB Leipzig/GER), Joey Veerman (PSV Eindhoven), Georginio Wijnaldum (Al Ettifaq/KSA).
Penyerang: Steven Bergwijn (Ajax Amsterdam), Brian Brobbey (Ajax Amsterdam), Memphis Depay (Atletico Madrid/ESP), Cody Gakpo (Liverpool/ENG), Donyell Malen (Borussia Dortmund/GER), Wout Weghorst (TSG Hoffenheim/GER).
https://www.bharian.com.my/sukan ... epay-bagi-euro-2024 |
|