|
Bos La Liga, Javer Tebas berkata industri bola sepak kini dalam bahaya akibat keputusan FIFA sendiri. - Foto AFP
LONDON: Bos-bos bola sepak bimbang FIFA mahu mewajibkan semua liga tertinggi di dunia hanya menampilkan 18 pasukan, termasuk Liga Perdana Inggeris.
Perdebatan antara liga dan wakil-wakil pemain serta badan induk bola sepak berkenaan Piala Dunia Kelab yang diperluaskan, terus berlangsung.
Namun kerisauan utama buat Liga Perdana Inggeris, La Liga Sepanyol dan liga-liga domestik lain ialah FIFA akan cuba mengehadkan penyertaan pasukan di liga tertinggi setiap negara kepada 18 pasukan dan 34 perlawanan.
Bos La Liga, Javer Tebas berkata: "Jika kita tidak mengambil tindakan, industri berada dalam bahaya sekarang. Penyelesaian FIFA hanyalah mencipta pertandingan baharu.
"Tetapi untuk ia berlaku dan bagi kami menyesuaikan diri dengan pertandingan ini, kami terpaksa kehilangan dua kelab daripada La Liga.
"Ia bermakna 70 orang pemain akan kehilangan kerja dan ribuan peluang pekerjaan di kelab-kelab berkenaan akan hilang.
"Kita perlu menyelesaikan masalah yang ada sekarang sebelum mencipta pertandingan baharu yang akan memusnahkan industri, kelab, pekerjaaan, impian peminat-peminat - dan bola sepak."
Tebas mengulas berkenaan perkara itu selepas media British melaporkan ancaman memboikot kejohanan Piala Dunia Kelab di Amerika Syarikat tahun depan yang membabitkan 32 pasukan.
Liga Perdana Inggeris, La Liga dan Serie A Itali semuanya menampilkan 20 pasukan. - AGENSI
https://www.bharian.com.my/sukan ... a-rosakkan-industri |
|