|
LECLERC membantu Ferrari menikmati kemenangan kedua musim ini selepas menjuarai GP Monaco sebelum ini. - AFP
LONDON – Principal Ferrari, Fred Vasseur menyeru pasukannya supaya tidak terbuai dengan kejayaan menguasai GP Monaco biarpun mereka dianggap sudah mampu menandingi kemampuan Red Bull pada saingan Formula Satu (F1) musim ini.
Vasseur yang mengambil alih pucuk pimpinan pasukan itu tahun lalu dianggap sebagai penyelamat maruah pasukan itu selepas melakar dua kemenangan musim ini.
Tetapi, Vasseur tidak mahu mendengar pujian menggunung terhadapnya dan fokus meletakkan Ferrari kembali di puncak kemenangan.
“Jika anda mula merasakan ketika ini berada dalam keadaan yang baik, ia adalah permulaan kepada penghujungnya dan jika salah percaturan perjalanan anda sebenarnya dalam perlumbaan ini telahpun berakhir.
“Ini bermakna kita perlu mengekalkan pendekatan yang sama dan mempunyai penambahbaikan berterusan di setiap sektor agar Ferrari mampu kekal dengan prestasi terbaik.
“Walaupun anda telah melakukan kerja yang baik, anda perlu melakukan kerja yang lebih baik pada minggu selepas itu,” kata Vasseur.
Dalam pada itu, Charles Leclerc yang menjuarai perlumbaan di Monaco minggu lalu merasakan bahawa Vasseur adalah individu tepat mengendalikan pasukan tersebut.
“Dia (Vasseur) mempunyai visi yang jelas tentang apa yang dia mahu capai dan bagaimana untuk mencapainya.
“Dia tidak membuang masa dan itu pasti kekuatannya. Sejak hari pertama dia menyertai pasukan ini, dia mempunyai segala-galanya untuk membawa kembali pasukan ke tempat asalnya iaitu ke kejuaraan dunia,” tegas Leclerc. – AGENSI
https://www.kosmo.com.my/2024/06 ... u-terbuai-kejayaan/ |
|