Aidil Yunus berkata demo itu bertujuan menunjukkan rasa tidak puas hati kepada kerajaan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
KUALA LUMPUR: Demi Negara pertubuhan disebalik protes ‘Rakyat Lawan Anwar’ tidak mempunyai hubungan dengan mana-mana parti politik, kata penganjurnya Aidil Yunus.
Aidil atau lebih dikenali di media sosial sebagai ‘Yb Viral’ berkata, beliau adalah penganjur tunggal demo itu dan tiada ‘parti politik’ di belakangnya.
Katanya, tujuan demo itu diadakan bagi menunjukkan rasa tidak puas hati orang ramai kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Aidil berkata rakyat yang terjejas dengan pemansuhan subsidi diesel akan menyokong dan akan mengambil bahagian dalam demo itu, termasuk petani dan pemandu trak tunda.
“Apa yang saya diberitahu, pemandu Lalamove, Shopee akan menyertai demo itu nanti,” kata Aidil dalam satu sidang media di luar Balai Polis Dang Wangi.
Aidil bersama pempengaruh Tunku Intan Abdul Hamid atau dikenali sebagai ‘Dayangku Intan’, dan Siti Zulaikha Olivia (Mak Iban Olivia) dipanggil polis berhubung pembabitan mereka dalam penganjuran demo itu.
Demi Negara berkata trio itu disiasat kerana membuat kenyataan yang boleh mencetuskan kekacauan dan salah guna kemudahan rangkaian. Penganjur juga menuduh polis digunakan sebagai alat untuk menekan pengkritik Anwar dan kerajaan.
Demo itu dijadual diadakan pada 29 Jun ini di depan Seri Perdana, kediaman rasmi perdana menteri di Putrajaya.