CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 1635|Reply: 0

[Pulau Pinang] Ada tekanan tetapi tak mustahil menang

[Copy link]
Post time 23-6-2024 06:34 PM | Show all posts |Read mode
Ada tekanan tetapi tak mustahil menang


Oleh Nur Izzati Mohamad - Jun 23, 2024 @ 5:47pm [email protected]





Calon PH, Dr Joohari Ariffin beramah mesra dengan media di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Sungai Bakap - Foto NSTP/MIKAIL ONG





NIBONG TEBAL: Harapan tinggi untuk memenangi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap diakui memberi tekanan kepada kempen calon PH, Dr Joohari Ariffin.

Mengakui dirinya menggalas harapan tinggi untuk merampas semula kerusi DUN berkenaan yang dimiliki PAS sejak Pilihan Raya Negeri Pulau Pinang lalu, Joohari berkata ia mencabar kerana keadaan bukan 'status quo'.

Ia kerana, berbanding PRK sebelum ini yang mana Kerajaan Perpaduan mempertahankan kerusi dan menang seperti di DUN Kuala Kubu Bharu, keadaan berbeza di Sungai Bakap kerana kerusi milik lawan.

Bagaimanapun, katanya, dengan kekuatan jentera Kerajaan Perpaduan di seluruh negara yang turun memberi sokongan dan membantu kempennya, tidak mustahil untuk Sungai Bakap diwakili PH kembali ke DUN Pulau Pinang.

"Secara peribadi, saya memang tertekan kerana semua memberikan dan meletakkan harapan tinggi, apatah lagi Sungai Bakap bukan 'status quo', maksudnya sebelum ini menang (kerusi asal), sekarang menang (selepas PRK), tetapi kini kita mahu menang di tempat yang kita kalah.

"Oleh sebab itu kita perlu bekerja keras dan tidak mustahil (untuk menang) apatah lagi mendapat sokongan jentera yang sangat kuat termasuk daripada Barisan Nasional (BN)," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sesi ramah mesra bersama pengamal media di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di Sungai Bakap, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Joohari berkata, beliau akan berusaha untuk mengembalikan kepercayaan pengundi kawasan itu terhadap Kerajaan Perpaduan.

"Kita (PH) tak pernah lagi kalah sebelum ini dan hantar ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) ke (persidangan) DUN.

"Hanya tahun lalu (tidak hantar kerana kalah pada PIlihan Raya Negeri) yang ia mungkin disebabkan isu sentimen, kepercayaan dan persepsi (terhadap Kerajaan Perpaduan).

"Jadi (PRK Sungai Bakap) kita kena betulkan balik persepsi kerana kita nak bawa balik (pengundi) supaya mereka percaya kepada kita. Oleh sebab itu, kita kena kerja keras, beri maklumat yang tepat kepada masyarakat supaya mereka memilih orang yang betul," katanya.

Sementara itu, Joohari berkata, latar belakangnya sebagai pendidik akan digunakan untuk menarik undi anak muda.

"Kita perlu dekati pengundi kali pertama dengan ilmu kerana bagi saya, orang baru (undi) ini kalau mereka yakin dengan seseorang (calon) yang boleh kekalkan dua tiga penggal, dia akan undi (calon) yang sama.

"Kita kena beri ilmu yang betul kepada orang muda kerana mencari ilmu bukannya hanya dalam (video) 30 saat berdasarkan Tik Tok, sebaliknya kena kekalkan tradisi dengan belajar, masuk kuliah, buat 'research' (kajian) dan 'reference' (rujukan).

"Orang yang hanya dengar 'hearsay' (khabar angin) tanpa ilmu takkan ke mana, semangat sahaja akan naik namun semangat pun ada naik turunnya. Bila kita tukar, semangat itu boleh berubah," katanya.

PRK Sungai Bakap menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon PH Joohari dan PN yang diwakili bekas eksekutif logistik yang juga Naib Yang Dipertua PAS Nibong Tebal Abidin Ismail, 56.

Kawasan Sungai Bakap diadakan semula pilihan raya susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lalu akibat keradangan dalam perut.







Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

24-11-2024 01:09 AM GMT+8 , Processed in 0.034958 second(s), 12 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list