|
Hampir sebulan terpisah dengan anak perempuannya, Nur Izzara membuatkan penyanyi Datin Alyah tidak sabar untuk pulang ke tanah air sekembalinya daripada menunaikan haji nanti.
Alyah atau nama lengkapnya Noor Hasliah Abu Hasan, 43, yang berangkat ke Tanah Suci bagi mengerjakan ibadah haji sejak 12 Jun lalu memberitahu dia mengalami kesukaran membuat panggilan video sepanjang berada di sana.
“Saya memang rindukan dia, tetapi di sini di sini saya agak sukar untuk membuat panggilan video.
“Jadi saya terpaksa menggunakan kaedah lain untuk berkomunikasi dengan dia iaitu melalui CCTV (televisyen litar tertutup) rumah sahaja,” katanya kepada Kosmo! Online.
Tambah Alyah, biarpun mengalami kekangan untuk menghubungi keluarga, namun suaminya, Datuk Ramli MS kerap berkongsikan video aktiviti Nur Izzara kepadanya.
“Bila tidak dapat berhubung, Tok Ram (Ramli MS) selalu menghantar video Zara bersama dengan dia.
“Alhamdulillah, sedikit sebanyak dapat juga mengubat kerinduan dengan mereka lebih-lebih hampir sebulan berjauhan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, penyanyi lagu Kisah Hati itu mengatakan dia mengalami masalah kesihatan ketika berada di sana.
“Keadaan kesihatan saya ada sedikit terganggu selepas pulang dari Mina apabila saya mula demam dan batuk.
“Keadaan suhu di sini agak panas sehingga mencecah 53 darjah selsius. Tetapi, alhamdulillah saya masih mampu bertahan.
“Apa yang membuat saya sedih apabila melihat setiap waktu solat, akan ada banyak kematian di masjid melibatkan golongan warga emas.
“Difahamkan akibat cuaca panas ini ramai yang mengalami masalah kesihatan dan ada juga yang meragut nyawa,” jelasnya.
Selain Alyah beberapa selebriti lain yang turut berangkat ke Tanah Suci mengerjakan ibadah haji antaranya Ella, Datuk Amy Search, Elfira Loy, Johan dan Ozlynn.
Untuk info, Alyah dijadualkan bakal pulang ke Malaysia pda 16 Julai depan.
Sumber – KOSMO! ONLINE
|
|