Kangar: Seorang kru bot nelayan yang dikhuatiri lemas selepas bertindak terjun ke laut ketika operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) ditemukan selamat di rumahnya di Kuala Sungai Baru, Simpang Empat dekat Kuala Perlis, hari ini.
Pengarah Zon Maritim
Kuala Perlis Komander Maritim Mohd Hashim Mat Zain berkata lelaki berusia 42 tahun itu ditahan pada 12.15 tengah hari ketika sedang bersembunyi di dalam rumahnya.
Beliau berkata isteri lelaki terbabit pada awalnya memaklumkan suaminya tiada di rumah.
"Hasil soal siasat mendapati suspek bertindak terjun ke laut bagi mengelak diberkas penguat kuasa APMM kerana terlibat dengan penagihan dadah," katanya dalam kenyataan malam ini.
Lelaki terbabit dilapor bertindak terjun ke laut semasa APMM cuba menahan bot berkenaan di kedudukan 4.1 batu nautika barat muara Kuala Kedah kira-kira 9.50 malam semalam.
Pasukan APMM menghampiri bot nelayan berkenaan yang dilihat berada dalam keadaan mencurigakan dan disyaki melakukan aktiviti menangguk siput.