Georgetown: Seorang lelaki bukan sahaja memandu melulu hingga menyebabkan kemalangan di Jalan Batu Feringghi ke Teluk Bahang di sini, semalam malah turut memilik dadah dan disahkan positif methamphetamine.
Perbuatan lelaki tempatan berusia 30 tahun yang memandu Perodua Myvi itu turut tular menerusi beberapa rakaman video di media sosial.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Razlam Ab Hamid mengesahkan kejadian berlaku pada jam 6.30 petang.
"Tindakan itu menyebabkan berlaku kemalangan membabitkan beberapa kenderaan lain.
"Anggota polis dan orang awam turut mengarah lelaki itu memberhentikan keretanya namun suspek enggan," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mengulas lanjut Razlam berkata, polis kemudian berjaya menahan suspek di hadapan sebuah premis di Jalan Batu Feringghi.
Katanya, pemeriksaan terhadap suspek menemukan dadah disyaki ganja dan syabu dalam beg silang miliknya.
"Semakan juga mendapati suspek mempunyai rekod lampau iaitu dua kes dadah dan satu jenayah.
"Ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine," katanya lagi.
Menurut Razlam, kes disiasat mengikut Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya, Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Katanya, siasatan juga dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan.
Suspek direman selama empat hari sehingga 24 Julai ini.