NORAZIAH (kiri) dan Nur Aina yang dilaporkan hilang ditemukan selamat hari ini. FOTO Ihsan Pembaca dan IPD Bentong
Seremban: Wanita berusia 25 yang dilaporkan menghilangkan diri dan kisahnya tular sejak seminggu lalu sudah pulang ke pangkuan keluarganya dengan selamat, hari ini.
Difahamkan, wanita dikenali sebagai Noraziah Abd Manaf itu hadir sendiri ke Balai Polis Batu Berendam, Melaka, kira-kira jam 12 tengah malam sebelum pihak polis menghubungi keluarga di Seremban.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, hasil maklumat awal wanita berkenaan dikatakan keluar dari rumah keluarganya di Taman Seremban Jaya, di sini, untuk mencari pekerjaan.
Beliau berkata, berdasarkan petunjuk berkenaan, pihaknya dengan bantuan Kontinjen Melaka cuba mengesan wanita terbabit di negeri itu, namun tidak berjaya.
"Pihak polis dan keluarga juga tidak dapat menghubunginya kerana nombor telefon bimbitnya didapati tidak aktif.
"Bagaimanapun, kira-kira jam 12 tengah malam tadi, dia hadir ke Balai Polis Batu Berendam.
"Polis sudah menghubungi keluarga dan difahamkan dia sudah pulang ke pangkuan keluarga dengan selamat. Daripada maklumat diperoleh dia keluar mencari pekerjaan di Melaka," katanya.
Sementara di Pahang, remaja perempuan berusia 17 tahun yang dilaporkan hilang 15 Julai lalu ditemui selamat hari ini.
Ketua Polis Daerah Bentong, Zaiham Mohd Kahar berkata, Nur Aina Faqihah Sharizan ditemui di stesen bas di Triang, kira-kira 2.30 petang.
"Gadis itu dibawa oleh orang awam yang menemuinya ke balai polis berdekatan.
"Remaja itu dalam keadaan stabil dan akan dibawa ke hospital untuk buat pemeriksaan kesihatan bagi keperluan siasatan," katanya.
Katanya, punca kehilangan remaja itu masih dalam siasatan dan pihak polis akan merakam percakapannya sebelum diserahkan kepada keluarga.
|