KUCHING: Dianggarkan 3,500 pelari dari 11 negara dari seluruh dunia dijangka mengambil bahagian pada Kuching Half Marathon Heritage Run 2024 pada 28 Julai ini.
Menurut satu kenyataan para peserta datang dari Jepun, Indonesia, Singapura, Brunei, Belanda, Australia, United Kingdom, Amerika Syarikat, Filipina, Kenya dan dari negeri-negeri lain di Malaysia.
Dianjurkan oleh City Jogger’s Club sempena ulang tahun ke-10, larian itu dijadual bermula dari bangunan Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS).
Datuk Bandar MBKS Dato Wee Hong Seng akan melepaskan para peserta bagi acara yang dibahagikan kepada kategori 10km dan 5km.
Acara 'half marathon' dijangka bermula jam 4 pagi diikuti (kategori) 10km dan 5km pada 6 pagi dan 6.45 pagi masing-masing.
Para peserta akan berlari melintasi 15 tapak warisan dan mercu tanda termasuk Muzium Lama, Muzium Budaya Sarawak, Astana Sarawak dan tiang bendera tertinggi di Asia Tenggara dan Jambatan Darul Hana.
Hadiah wang tunai RM42,000 menanti pemenang pelbagai kategori iaitu Lelaki Terbuka, Wanita Terbuka, Lelaki Veteran, Wanita Veteran dan Penamat 20 Teratas.
|