Balik Pulau: Remaja perempuan berusia 17 tahun yang dilaporkan hilang sejak Ahad lalu ditemukan dalam keadaan selamat, di sini, semalam.
Remaja itu ditemukan oleh orang awam di perkarangan sebuah masjid di Teluk Kumbar pada jam 11.50 pagi.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, berdasarkan laporan polis yang dibuat bapa mangsa didapati remaja perempuan itu dihantar ke asrama sebuah institusi pendidikan swasta di sini, pada 21 Julai lalu.
"Kehilangan mangsa hanya diketahui keluarga selepas mereka menghubungi pihak institusi pendidikan itu semalam bagi bertanya keadaan kesihatan sebelum dimaklumkan dia tidak memasuki sesi pembelajaran serta tiada di asrama sejak Ahad lalu.
"Susulan itu, bapa mangsa membuat laporan polis dan beberapa jam kemudian remaja berkenaan ditemukan dalam keadaan selamat oleh orang awam," katanya di sini, hari ini.
Kamarul Rizal berkata, pemeriksaan awal fizikal remaja itu didapati berada dalam keadaan baik namun dihantar ke hospital bagi pemeriksaan lanjut.
Semalam, tular hantaran pengguna Facebook, Farhan Daud yang merayu orang ramai mengesan anak saudaranya, Nur Maisarah Husna, 17, selepas dilaporkan hilang sejak 21 Julai lalu.