Butterworth: Keluarga merayu ihsan orang ramai bagi mengesan Remaja perempuan berusia 17 tahun yang dilaporkan hilang selepas tidak pulang ke rumah di Bagan Ajam di sini, sejak semalam.
Abang sulungnya, Mohammad Nurul Asrul Norulfadli, 23, berkata, Siti Nur Khaireena Zufairi keluar dari rumah pada 5 petang semalam tanpa pengetahuan keluarga dipercayai dengan rakan lelaki yang tidak dikenali mereka.
Katanya, anak bongsu daripada tiga beradik itu disedari tidak pulang ke rumah selepas keluarganya menerima pesanan suara menerusi Aplikasi WhatApp.
"Pesanan itu dihantar seorang lelaki menggunakan nombor telefon Siti Nur Khaireena yang mendakwa adik saya berada bersamanya di Bandar Kota Bharu, Kelantan.
"Kira-kira 9 malam, kami masih boleh menjejak lokasi menerusi nombor telefon itu dan tidak lama kemudian, nombor telefon kami disekat," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini, dan memaklumkan laporan kehilangan adiknya itu sudah dibuat di Balai Polis Butterworth, hari ini.
Dia berkata, berikutan kekangan kewangan, keluarganya meminta bantuan saudara di Kelantan bagi mencari Siti Nur Khaireena di alamat seperti yang diberi menerusi pesanan suara itu.
"Saudara saya memaklumkan sudah ke alamat itu yang juga sebuah pangsapuri dengan kawalan sekuriti dan sukar menjejaki adik.
"Adik saya sudah lama tidak bersekolah dan tidak mempunyai perselisihan faham dengan keluarga," katanya.
Katanya, dia berharap jika ada orang awam yang menjumpainya, boleh lapor ke balai polis berhampiran atau hubungi talian 012-360 3253.
Terdahulu, tular di Facebook oleh seorang wanita yang merayu bagi mengesan adiknya yang tidak dapat dijejaki sejak semalam.