Anggota polis berpangkat koperal, Nor Mohamad Hafizi Hafis, 33, dihukum penjara sehari dan denda RM10,000 atas kesalahan menerima rasuah RM1,500 tiga tahun lalu. - Foto NSTP/DANIAL SAAD
BUTTERWORTH: Seorang anggota polis berpangkat koperal dihukum penjara sehari dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini kerana menerima rasuah RM1,500 daripada seorang individu, tiga tahun lalu.
Hakim Zulhazmi Abdullah memerintahkan keputusan itu selepas tertuduh, Nor Mohamad Hafizi Hafis Md Ariffin, 33, mengaku bersalah atas pertuduhan berkenaan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menerima suapan RM1,500 daripada seorang lelaki sebagai dorongan supaya tidak mengambil tindakan terhadap seorang rakannya yang dikatakan melakukan kesalahan di bawah Akta Racun 1952 kerana memiliki dua bungkus air ketum.
Kesalahan itu didakwa dilakukan kira-kira jam 1 pagi di Balai Polis Dato' Keramat dalam daerah Timur Laut, pada 6 Julai 2021.
Tertuduh yang berkhidmat sebagai anggota polis sejak 2011 didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama.
Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Noor Azura Zulkifli, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, tertuduh dalam rayuannya meminta hukuman minimun dikenakan dengan alasan sudah insaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan itu.
Bagaimanapun, pihak pendakwaan memohon hukuman berbentuk pengajaran dikenakan terhadap tertuduh dengan mengambil kira kepentingan masyarakat, apatah lagi menerima rasuah adalah kesalahan serius.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara sehari dan denda RM10,000 terhadap tertuduh.
Tertuduh juga diperintahkan untuk menjalani hukuman empat bulan penjara jika gagal membayar denda.