ALOR SETAR: Selepas dua hari dilaporkan hilang, seorang lelaki ditemui meninggal dunia di Sungai Anak Bukit, berhampiran kawasan Kampung Alor Madi, di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Siti Nor Salawati Saad berkata, polis menerima panggilan daripada orang awam memaklumkan penemuan mayat terapung pada jam 9.40 pagi tadi.
Beliau berkata, polis yang menjalankan siasatan awal di lokasi penemuan mayat mendapati mangsa dipercayai meninggal dunia lebih 24 jam lalu berdasarkan keadaan mayat yang sudah mereput.
Katanya, pemeriksaan pada mayat pula turut menemui dokumen pengenalan diri pada seluar panjang yang dipakai mangsa.
"Berdasarkan dokumen pengenalan diri itu, mayat itu dipercayai lelaki tempatan yang dilaporkan hilang oleh warisnya pagi tadi.
"Laporan kehilangan dibuat di Balai Polis Anak Bukit pada jam 9.36 pagi itu dan waris mangsa memaklumkan dia tidak pulang ke rumah sejak jam 6 petang, Selasa lalu.
"Berikutan itu, waris mangsa tampil membuat laporan polis berkenaan kehilangannya hari ini," katanya dalam kenyataan.
Mayat dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk bedah siasat.
Beliau berkata, setakat ini, polis mengklasifikasi kes sebagai mati mengejut sehingga laporan penuh bedah siasat diperolehi kelak.