|
Keadaan Sungai Masai di Kampung Pasir Gudang Baru, Pasir Gudang yang tercemar, warna air berubah kehitaman sejak semalam. FOTO ihsan penduduk
Pasir Gudang: Kira-kira 1,300 penduduk Kampung Pasir Gudang Baru, di sini, kecewa dengan masalah pencemaran Sungai Masai yang berlarutan sejak 20 tahun lalu.
Pengerusi Nelayan Wilayah Johor Selatan, Azli Mohd Aziz berkata, pencemaran yang memasuki hari kedua meresahkan penduduk kampung terutama nelayan pantai.
Menurutnya, masalah air sungai bertukar hitam didakwa sudah banyak kali berlaku dan berulang hampir setiap bulan.
Katanya, banyak aduan dibuat ke Jabatan Alam Sekitar (JAS), Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) dan Indah Water Konsortium (IWK), tetapi masih tidak dapat diselesaikan.
"Saya tidak tahu bila masalah pencemaran air hitam ini akan selesai, aduan dibuat banyak kali tetapi masih tiada penyelesaian.
"Pegawai mereka ada datang, setakat memantau dan mengambil sampel air ketika air pasang, itu saja yang dilakukan tetapi masih lagi berlaku pencemaran.
"Umpama lagu kanak-kanak 'Bangau oh Bangau', begitulah masalah pencemaran di Sungai Masai, sehingga kini tiada penyelesaian," katanya.
Sementara itu, Ketua Kampung Pasir Gudang Baru, Daud Saad berkata, nelayan terpaksa menangkap ikan lebih jauh kerana keadaan persisiran sudah tercemar dengan air yang kotor.
"Nelayan dan penduduk berharap ada pihak dapat membantu menyelesaikan masalah air sungai yang hitam dengan bau busuk yang sangat meloyakan.
"Sehinggakan nelayan nak turun ke sungai tak sanggup, tetapi terpaksa demi mencari rezeki. Saya harap ia diberi perhatian serius kerana boleh memusnahkan ekosistem sungai," katanya.
Disiarkan pada: September 18, 2024
sumber
|
Rate
-
1
View Rating Log
-
|