Nibong Tebal: Jabatan Imigresen (JIM) Pulau Pinang membongkarkan kegiatan warga asing tidak mempunyai dokumen perjalanan bekerja dengan kontraktor syarikat pembersihan yang dilantik pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam serbuan di lapan rumah di Taman Tangling Indah, Simpang Ampat, di sini, semalam.
Serbuan Op Sapu itu diadakan susulan aduan penduduk kawasan taman perumahan berkenaan melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SiSPAA) berhubung warga asing yang menghuni kawasan kediaman.
Menurut kenyataan JIM negeri, siasatan mendapati lapan rumah dua tingkat yang diserbu Bahagian Penguatkuasa Imigresen Pulau Pinang itu dipercayai disewa oleh majikan untuk dijadikan sebagai asrama pekerja.
"Dalam operasi ini, seramai 75 penghuni warga asing diperiksa namun 15 pekerja didapati tidak memiliki dokumen perjalanan dan pas yang sah.
"Mereka terdiri daripada 14 lelaki dan seorang wanita warga Myanmar yang berusia antara 22 hingga 46 tahun.
"Berdasarkan akuan dan pakaian yang ditemui, 15 orang warga asing ini bekerja dengan kontraktor syarikat pembersihan yang dilantik oleh PBT sebagai pemotong rumput," katanya.
Katanya, ketika diminta mengemukakan dokumen kesemua mereka telah gagal berbuat demikian dan tidak dapat memberikan sebarang keterangan mengenai keberadaan mereka di Malaysia.
"Susulan itu, kesemua mereka ditahan kerana disyaki melanggar peruntukan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki Pas yang sah serta untuk siasatan lanjut," katanya.
Sementara itu, siasatan ke atas majikan serta pemilik kediaman juga akan dilakukan dan akan dikenakan tindakan selaras dengan peruntukan undang-undang sekiranya terdapat elemen kesalahan.