Banjir di Kedah: Lebih 1,000 pegawai dan anggota omba dikerah pantau keselamatan
Oleh Zuliaty Zulkiffli - September 20, 2024 @ 11:34am [email protected]
ALOR SETAR 18 SEPTEMBER 2024. Anggota bomba membantu ibu kepada Penduduk, Ahmad Syakir Rosli, 39 yang sedang sakit dan menjalani rawatan dialisis di Taman Tanjung Bendahara. STR/ WAN NABIL NASIR.
JITRA: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah menggerakkanlebih 1,000 pegawai dan anggota dalam operasi banjir di negeri ini.
Jumlah itu termasuk Pegawai Bomba Bantuan (PBB) yang ada di negeri ini bagi menjalankan operasi penyelamatan termasuk banjir serta pokok tumbang di negeri ini.
Ini berikutan, keadaan banjir di Kedah semakin buruk menyebabkan lebih ramai mangsa berpindah ke 36 pusat pemindahan sementara (PPS) di tujuh daerah di negeri ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan Dan Penyelamat, JBPM Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Wan Mohd Hamizi Wan Mohd Zin berkata, pihaknya juga bersedia pada bila-bila masa untuk memohon bantuan tambahan anggota dan aset dari negeri berhampiran seperti Perlis dan Pulau Pinang sekiranya situasi banjir di negeri ini bertambah buruk.
Beliau berkata, bantuan tambahan anggota JBPM negeri berhampiran diperlukan bergantung pada keadaan semasa banjir di negeri ini melalui Pusat Operasi JBPM negeri dan Pusat Pengurusan Operasi di JBPM Putrajaya.
Katanya, setakat ini, pihaknya sudah menyalurkan maklumat di semua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) di peringkat daerah untuk berkomunikasi dengan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah masing-masing, seterusnya menyalurkan maklumat itu di Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri.
"Seperti yang kita sedia maklum, jumlah mangsa yang ditempatkan di 36 PPS yang aktif di tujuh daerah ini semakin meningkat berikutan limpahan sungai serta air pasang besar yang berlaku sejak Selasa lalu.
"Ombak besar yang mencapai lebih tiga hingga lima meter bertembung dengan limpahan air sungai menyebabkan lebih ramai mangsa dipindahkan.
"Setakat ini operasi pemindahan masih dilakukan di beberapa daerah namun keadaan terkawal kerana sebilangan besar mangsa sudah dipindahkan ke PPS yang aktif di negeri ini sejak 16 September lalu," katanya ditemui sewaktu melakukan pemantauan mangsa banjir di PPS Lubuk Batu, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Wan Mohd Hamizi berkata, JBPM Kedah menerima banyak panggilan kes membabitkan pokok tumbang dan ribut di beberapa daerah termasuk di Pulau Langkawi.
Katanya, setakat ini lebih 180 panggilan berkaitan pokok tumbang dicatatkan sejak seminggu lalu di beberapa daerah.
"Pada masa sama kita turut melakukan pemantauan di kawasan yang dijangka meningkat banjir di negeri. ini.
"Selain itu kita turut meneruskan pemantauan di kawasan pantai selain mengarahkan anggota di BBP Langkawi supaya melakukan pemantauan di kawasan pantai serta memberi nasihat bersama agensi lain yang terbabit kepada pelancong supaya mereka tidak menghampiri kawasan pantai.
"Ini bagi mengelakkan sesuatu kejadian tidak diingini berlaku kerana keadaan sekarang tidak sesuai untuk berada di kawasan pantai disebabkan keadaan ombak dan angin kencang ketika ini," katanya.
Situasi banjir di negeri ini semakin buruk apabila apabila jumlah mangsa bertambah 6,807 mangsa ditempatkan di 36 PPS di negeri ini
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/09/1300689/banjir-di-kedah-lebih-1000-pegawai-dan-anggota-omba-dikerah-pantau
|