LRA Pelubang keruh, 150,000 pengguna di Kedah terputus bekalan air
Oleh Noorazura Abdul Rahman - September 29, 2024 @ 3:28pm [email protected]
Foto hiasan
ALOR SETAR: Sejumlah 150,000 pengguna di Kedah terputus bekalan air hari ini, susulan kadar kekeruhan air mentah tinggi dilaporkan di Loji Rawatan Air (LRA) Pelubang.
Syarikat Air Darul Aman (SADA) dalam kenyataan berkata, pihaknya terpaksa mengurangkan operasi LRA Pelubang selepas mengesan kekeruhan yang disebabkan hujan lebat berterusan.
Katanya, kawasan terjejas adalah sekitar daerah Kota Setar, sebahagian daerah Kubang Pasu, Ayer Hitam dan Pokok Sena.
"Jangkaan tempoh gangguan bermula jam 11 pagi tadi hingga kekeruhan air mentah dan agihan semula bekalan air selesai," katanya.
SADA berkata, LRA Bukit Pinang dan LRA Pelubang berisiko menghadapi gangguan operasi akibat kekeruhan air mentah.
Katanya, bacaan kadar kekeruhan air mentah membabitkan pengoperasian LRA Bukit Pinang dan LRA Pelubang menunjukkan trend meningkat dan berisiko berlaku gangguan bekalan air membabitkan pengguna di beberapa daerah.
"Setakat ini, LRA terbabit masih beroperasi 100 peratus, namun SADA menyarankan pengguna di daerah Kota Setar, Kubang Pasu dan sebahagian Pendang membuat persediaan awal dengan menyimpan bekalan air dan menggunakannya secara berhemah," katanya.
Pengguna boleh menghubungi talian hotline SADA 1300-88-0017 atau e-mel di [email protected] untuk sebarang aduan atau pertanyaan.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/09/1304410/lra-pelubang-keruh-150000-pengguna-di-kedah-terputus-bekalan-air
|