Padang Terap: "Minggu lalu, saya bertugas hampir seminggu menjaga pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Convent di Alor Setar.
"Tak sangka pula minggu ini rumah saya pula dinaiki banjir sehingga rumah dipenuhi lumpur dan banyak barang termasuk perabot, tilam dan pakaian rosak," kata Saleha Hamzah, 54
.
Saleha yang juga anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) berkata, rumahnya di Kampung Pisang, di sini pernah beberapa kali dilanda banjir, namun tidak seteruk kelmarin.
"Sebelum ini kalau hujan air akan melimpah ke dalam sawah berhampiran tetapi kali ini air bukit mencurah sehingga memasuki rumah walaupun kedudukan rumah kami tinggi.
"Kami tak sempat menyelamatkan barangan dalam rumah kecuali tiga ekor kucing, manakala sebuah motosikal dan kereta ditenggelami air," katanya.
Selain itu, katanya, tiga dari 12 ekor kambing peliharaan suaminya juga mati.
Menurut Saleha, dia tidak tahu bagaimana untuk membersihkan dalam rumah kerana sangat berselerak selain ada yang bercampur lumpur.
Katanya, rumah itu pula separuh siap dan dibina sejak beberapa tahun lalu menggunakan wang sedikit demi sedikit akibat kekangan kewangan.