Jitra: Operasi hari ketiga pencarian jasad pesara pegawai kewangan Felcra,
Sabari Baharomyang dicampak di Sungai Padang Terap, Kampung Empa, di sini diteruskan kira-kira jam 10 pagi tadi.
Operasi disertai Unit Selam, Pasukan Polis Marin (PPM) Batu Uban di Pulau Pinang dan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kubang Pasu.
Bagaimanapun, setakat jam 11 pagi hari ini, masih tiada sebarang petunjuk diperolehi di lokasi.
Difahamkan radius pencarian meliputi 13 kilometer sepanjang sungai terbabit bermula dari Jambatan Lubuk Batu ke Jambatan Kepala Batas dekat sini.
Sebelum ini, polis mengesahkan mangsa dipercayai dicampak ke dalam Sungai Padang Terap dalam keadaan tangan diikat dan mulut ditutup dengan pita pelekat.
Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh dalam kenyataannya sebelum ini dilaporkan berkata, operasi pencarian itu dijalankan susulan penahanan suspek dua lelaki tempatan berusia 26 dan 38 tahun Jumaat lalu.
Media sebelum ini melaporkan Sabari hilang sejak 4 September lalu dan kereta jenis Proton Waja dinaiki mangsa kemudiannya ditemui hangus di Belantik, Sik.
Kehilangan warga emas itu disedari anaknya selepas telefon bimbit mangsa dimatikan selain terdapat transaksi pengeluaran wang dari akaun bank milik Sabari.