Bunyi angin tepi rak kasut rupanya 'King Cobra'
Oleh Zuliaty Zulkiffli - Oktober 4, 2024 @ 11:05pmbhnews@bh.com.my
Anggota APM Sik menunjukkan ular tedung selar yang berjaya ditangkap di tepi rak kasut. - NSTP/IHSAN APM
SIK: Bunyi hembusan angin di sebalik rak kasut rumah penduduk di Taman Jeniang Jaya, di sini mendedahkan kehadiran seekor ular tedung selar atau lebih dikenali sebagai 'King Cobra'.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Sik, Leftenan (PA) Haisul Aishah Md Napiah berkata, Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Sik menerima panggilan kecemasan berhubung penemuan reptilia berbisa di rumah penduduk di lokasi terbabit sekitar jam 8 malam.
Beliau berkata, sepasukan anggota dari APM Sik yang diketuai Sarjan (PA) Zamri Fakhordzi bersama empat anggota menyertai operasi menangkap ular berkenaan.
"Sebaik tiba di lokasi kejadian, pasukan APM Sik mendapati seekor ular spesis tedung selar sedang bersembunyi di tepi rak kasut rumah pengadu.
"Pengadu yang juga lelaki berusia 34 tahun memberitahu, dia menyedari kehadiran reptilia berkenaan ketika hendak masuk ke dalam rumahnya apabila mendengar bunyi angin di sebalik rak kasutnya.
"Pada awalnya pengadu menyangka ia hanya spesis ular kapak.
"Pengadu terus menghubungi APM Sik bagi menangkap reptilia berkenaan.
Haisul Aishah berkata; "Dengan menggunakan kemahiran yang ada, pasukan APM Sik berjaya menangkap ular tedung selar yang dianggarkan tiga meter panjang dan beratnya lima kilogram (kg) itu menggunakan peralatan khas," katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata, sebarang kes kecemasan, orang awam di Daerah Sik boleh menghubungi APM Sik di talian 010- 817 7991.
"Orang ramai di daerah ini dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati ketika musim hujan yang boleh mengundang kehadiran ular atau binatang berbisa lain masuk ke dalam rumah untuk berlindung," katanya.
https://www.bharian.com.my/berita/kes/2024/10/1306780/bunyi-angin-tepi-rak-kasut-rupanya-king-cobra
|