Gelombang kedua banjir di Perlis dijangka lebih buruk
Oleh Aizat Sharif - Oktober 9, 2024 @ 10:38pm [email protected]
Gelombang kedua banjir di Perlis dijangka akan menjadi lebih buruk pada pertengahan bulan ini apabila hujan lebat yang melanda akan bertembung dengan fenomena air pasang besar. - Foto NSTP/AIZAT SHARIF
KANGAR: Gelombang kedua banjir di Perlis dijangka akan menjadi lebih buruk pada pertengahan bulan ini apabila hujan lebat yang melanda akan bertembung dengan fenomena air pasang besar.
Ia berikutan ombak besar dijangka mencecah sehingga 3.7 meter (m) bakal melanda pesisiran pantai negeri itu pada 16 hingga 19 Oktober depan.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Perlis, Datuk Che Murad Sayang Ramjan, berkata negeri itu kini sedang bersiap sedia menghadapi gelombang terbabit jika hujan lebat berterusan melanda sekitar tarikh berkenaan.
"Berdasarkan maklumat yang diberikan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri, ketinggian ombak boleh mencecah sehingga 3.7m ada tempoh itu.
"Jika berlaku hujan lebat pada waktu itu, kita menjangkakan keadaan banjir mungkin akan lebih buruk berbanding pertembungan hujan lebat dan air pasang pada pertengahan September lalu," katanya.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Pengurusan Bencana Negeri Perlis di Kompleks Setiausaha kerajaan Negeri (SUK) Perlis hari ini.
Che Murad yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri berkata, semua agensi terbabit sudah diminta bergerak lebih awal berpandukan ramalan cuaca sebagai persiapan berdepan fenomena itu.
"Malah, kita di Sekretariat Pengurusan Bencana negeri juga memiliki 1,200 kekuatan untuk bantuan langsung terdiri anggota tentera, polis, Angkatan Pertahanan Awam dan Jabatan Bomba dan Penyelamat.
"Pada masa sama, terdapat 6,000 lagi kekuatan daripada pelbagai jabatan dan agensi kerajaan yang terbabit seperti Jabatan Kesihatan, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Jabatan Pendidikan," katanya.
Isnin lalu, banjir kilat melanda di beberapa kawasan di Arau dan Kangar selepas hujan berterusan lebih lima jam.
Malah, keadaan itu diburukkan dengan situasi banjir termenung atau 'air lalu' apabila kawasan kediaman seperti kampung dan jalan raya dinaiki air daripada parit dan longkang di beberapa kawasan gagal mengalir dengan baik sehingga mengakibatkan limpahan air di sesetengah kawasan.
Setakat ini, lima pusat pemindahan sementara (PPS) sudah dibuka dengan tiga daripadanya terletak di Arau dan selebihnya di Kangar yang menempatkan keseluruhan 678 mangsa daripada 208 keluarga.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/10/1308838/gelombang-kedua-banjir-di-perlis-dijangka-lebih-buruk
|