Sik: Seorang pelajar sebuah institut kemahiran di sini, terpaksa meminta bantuan bomba, malam tadi, selepas cincin besi yang dipakai di jari manis pada tangan kirinya, tersangkut hampir lima jam.
Pelajar lelaki berusia 19 tahun itu tidak dapat menahan kesakitan selepas cincin itu tidak dapat dibuka menyebabkan jari manisnya sudah hampir membengkak.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sik, Zulkhairi Mat Tanjil berkata, penuntut lelaki itu hadir ke balai bersama kakitangan institut pengajian terbabit pada 11 malam.
Beliau berkata, penuntut itu dikatakan mahu menukar cincin yang dipakai dari jari kiri ke kanan, petang semalam, sebelum mendapati ia tidak boleh ditanggalkan dan tersangkut di jari manis tangan kanannya.
"Dia memaklumkan kejadian itu kepada warden asrama apabila terasa sakit dan ke terus ke BBP Sik untuk mendapatkan bantuan.
"Pihak bomba mengambil masa hampir lima minit untuk potong cincin berkenaan menggunakan peralatan khas memotong cincin dan tiada kecederaan serius berlaku padanya," katanya ketika dihubungi, hari ini.