CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 44410|Reply: 0

[Kedah] Pesawah lega harga belian padi naik kepada RM1,300 satu tan

[Copy link]
Post time 11-10-2024 11:21 AM | Show all posts |Read mode
Pesawah lega harga belian padi naik kepada RM1,300 satu tan

Oleh Noorazura Abdul Rahman - Oktober 11, 2024 @ 9:00am [email protected]





Pesawah melakukan proses menuai padi di Kampung Lubuk Kawah. - Foto Wan Nabil Nasir/BH





Jitra: Langkah kerajaan meningkatkan harga lantai belian padi kepada RM1,300 satu tan menerusi peruntukan Belanjawan 2024 berbanding RM1,200 sejak 2014, memberi kelegaan kepada pesawah dalam mengimbangi kenaikan kos mengusahakan sawah.

Beza RM100 itu besar rahmatnya bagi pesawah yang menzahirkan kesyukuran atas keprihatinan kerajaan dalam membantu meningkatkan taraf ekonomi mereka.



Ia dilihat sebagai lanjutan kepada pengumuman kenaikan kadar Skim Subsidi Harga Padi daripada RM360 kepada RM500 satu tan.

Kegembiraan itu berganda apabila pihak kilang turut membantu dengan membeli padi harga sekitar RM1,800 satu tan bermula musim lalu.

Janji kerajaan membantu rakyat benar-benar dipenuhi dengan meletakkan kepentingan pesawah setanding golongan lain yang sama-sama menyumbang kepada pembangunan negara.

Bagi Darus Ayub, 63, dari Kampung Tanjung Kapur di sini, kenaikan itu memberi suntikan semangat kepada pesawah untuk terus memastikan keterjaminan bekalan makanan negara.

Beliau kini mengusahakan kira-kira tiga hektar sawah yang sebahagiannya tanah sawah disewa daripada adik-beradik dan kenalan.



Dari kiri Darus, Akmal Faris dan Abu Bakar menunjukkan padi yang diusahakan oleh mereka.

"Secara purata, setiap musim iaitu empat bulan saya boleh mendapat pendapatan bersih antara RM6,000 hingga RM7,000, masih berbaloi untuk kami mengusahakan sawah setakat ini.

"Walaupun harga kos upah jentera, meracun dan benih naik, kami masih dapat sedikit untung. Alhamdulillah, semoga kerajaan terus membantu pesawah dan terus menyemak harga lantai padi," katanya yang mengusahakan sawah sejak 48 tahun lalu.

Bapa kepada lima anak itu bersyukur dapat menikmati harga jualan padi yang tinggi meskipun pada usia yang sudah lanjut.

"Saya besarkan anak-anak dengan mengusahakan sawah. Buat padi sudah menjadi adat keluarga turun-temurun, jika kami tak usahakan sawah, siapa lagi nak buat sedangkan semua orang di Malaysia makan nasi," katanya.

Abu Bakar Halim, 47, berkata harga lantai yang ditetapkan kerajaan memberi manfaat besar kepada pesawah selepas sekian lama tidak menikmati kenaikan harga.

Menurutnya, harga lantai itu dapat menjadi penanda aras bagi pengilang supaya tidak membeli padi pada harga kurang daripada yang ditetapkan.

"Apa yang kerajaan buat ini membuatkan pesawah berasa lebih selamat dan selesa. Kami berasa nasib pesawah terbela dan penat lelah di bendang tidak sia-sia kerana ada harga yang perlu dipatuhi oleh pengilang.

"Apabila berlaku kenaikan harga beras, pengilang dapat membantu pesawah untuk beli padi dengan harga yang lebih tinggi ditambah bantuan RM200 sebulan sementara menunggu musim menuai.

"Bagi orang kampung yang mengerjakan bendang seperti kami, wang bantuan seperti itu memang besar nilainya.

"Sekurang-kurangnya, ia dapat membantu dalam memastikan kelangsungan hidup pesawah yang rata-ratanya menjadikan sawah sebagai sumber pendapatan utama untuk menyara keluarga," katanya yang mengusahakan lima hektar sawah di Kampung Lubuk Kawah di sini.

Impak kenaikan harga belian
Petani muda, Akmal Faris Mohd Hafidz, 28, berkata kenaikan harga lantai turut memberi impak kepada kenaikan harga belian padi di kilang sehingga RM1,800 satu tan.

"Hujung tahun lalu, saya dapat hasil jualan padi mencecah RM1,800 satu tan, semusim saya dapat pendapatan bersih RM4,000 kerana sawah yang diusahakan hanya seluas satu hektar.

"Saya menampung perbelanjaan keluarga dengan bekerja sebagai pemandu lori pada musim menuai dan dari situ dapatlah juga pendapatan RM2,000.

"Jika harga lantai masih di tahap lama seperti sebelum ini, mungkin ramai pesawah tidak mampu meneruskan kerja mengusahakan sawah mereka," katanya yang juga tinggal di Kampung Lubuk Kawah di sini.

Bapa kepada seorang cahaya mata itu berharap kerajaan dapat mempertimbangkan kenaikan harga lantai padi selepas ini supaya tidak berlaku penurunan harga yang mendadak di pihak kilang.

"Kerajaan benar-benar mendengar untung nasib kami dan cepat mengambil tindakan untuk membantu pesawah seperti kami menikmati kenaikan harga lantai belian padi.

"Semua ini membuatkan kami lebih bersemangat mengerjakan bendang. Memang ada ujian seperti musim tengkujuh dan banjir tetapi kita kena usaha dan nampaknya kerajaan menghargai usaha kami," katanya.

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/10/1309361/pesawah-lega-harga-belian-padi-naik-kepada-rm1300-satu-tan





Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT


Forum Hot Topic

 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

23-11-2024 11:57 PM GMT+8 , Processed in 0.047931 second(s), 12 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list