Kontraktor, anak saudara didakwa bunuh Sabari
Oleh M Hifzuddin Ikhsan - Oktober 17, 2024 @ 11:50am[email protected]
Polis membawa Mazuan dan Muhd Asyraf yang dituduh membunuh Sabari di Mahkamah Majistret hari ini. NSTP/ WAN NABIL NASIR.
JITRA: Seorang kontraktor dan anak saudaranya didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan membunuh pesara pegawai kewangan FELCRA, Sabari Baharom, 62, pada 4 September lalu.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan ke atas Mazuan Hanafi, 38, dan Muhd Asyraf Idris, 26, dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Nurul Huda Idris.
Mengikut kertas pertuduhan, Mazuan dan Muhd Asyraf secara bersama melakukan bunuh dengan niat menyebabkan kematian ke atas Sabari pada jam 5.30 pagi 4 September lalu.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di titi Kampung Empa, Sungai Padang Terap dalam daerah Kubang Pasu.
Berikutan itu, mereka berdua didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dihukum mati atau penjara maksimum 40 tahun dan minimum 12 kali sebatan.
Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri, Datuk Khairul Anuar Abdul Halim dan Timbalan Pendakwa Raya, Nasruna Anhar Noridien serta Mohamad Rizal Fadzil, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Nurul Huda kemudian menetapkan tiada jaminan dibenarkan ke atas kedua-dua tertuduh dan sebutan semula kes pada 5 Januari tahun depan.
Semalam, Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh mengesahkan pihaknya sudah melengkapkan kertas siasatan kes bunuh Sabari dan dokumen itu sudah dirujuk kepada Khairul Anwar pada Isnin lalu.
Sebelum ini, Mahkamah Majistret Sungai Petani memerintahkan kedua-dua tertuduh direman selama seminggu berakhir hari ini, bagi membantu siasatan polis mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membunuh.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/10/1312013/kontraktor-anak-saudara-didakwa-bunuh-sabari
|