Georgetown: Majlis Fatwa Pulau Pinang memutuskan ajaran, pegangan dan fahaman dibawa pemimpin, pengikut, pekerja atau jemaah GISBH Holding (GISBH) dan rangkaian syarikat gabungannya bercanggah serta menyeleweng daripada ajaran Islam.
Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid berkata, kumpulan terbabit masih meneruskan pegangan serta amalan Darul Arqam dan Syarikat Rufaqa' Corporation Sdn Bhd yang telah difatwakan sesat sebelum ini.
Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) itu menambah, GISBH turut didapati menyeleweng dalam aspek akidah antaranya menyakini pengasas Aurad Muhamadiah, Syeikh Muhammad Suhaimi tidak mati tetapi ghaib dan akan muncul sebagai Imam Mahadi manakala pengasas Darul Arqam, Ashaari Muhammad atau dikenali sebagai Abuya adalah pemuda Bani Tamim dan akan muncul sebagai pembantu Imam Mahadi pada akhir zaman.
"Jemaah GISBH masih mengamalkan Aurad Muhammadiah atau Zikir Agung versi Darul Arqam yang difatwakan sesat selain menyakini amalan bertabarruk iaitu basuhan anggota badan pemimpin GISBH, air rendaman rambut dan janggut pemimpin mempunyai berkat.
"Daripada sudut muamalah ekonomi, GISBH mempunyai unsur perhambaan dan penindasan terhadap mereka yang terlibat serta eksploitasi ke atas ahli kanak-kanak dan wanita.
"Kita akan mewartakan keputusan fatwa ini secepat mungkin selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong bagi membolehkan penguatkuasaan dibuat," katanya pada sidang media yang turut dihadiri, Mufti Pulau Pinang, Prof Madya Datuk Dr Mohd Sukki Othman, di sini, hari ini.
Pulau Pinang sebagai negeri keenam mengisytiharkan ajaran dan amalan GISBH bercanggah menyeleweng ajaran Islam selepas Perlis, Selangor, Pahang, Melaka dan Sabah.
Mohamad berkata, keputusan yang dibuat bersandarkan maklumat terperinci serta bukti sahih berkaitan GISBH di Pulau Pinang yang diperoleh daripada Bahagian Penguatkuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) dan pihak polis negeri.
Katanya, Jawatankuasa Fatwa negeri turut memutuskan, orang Islam sama ada secara individu atau berkumpulan dilarang dan diharamkan beramal atau berpegang dengan fahaman atau amalan yang mempunyai persamaan dengan GISBH.
Mohamad berkata, kerajaan negeri menyediakan Kompleks Darul Hidayah (KDH) Permatang Tok Gelam, Penaga sebagai pusat pemulihan akidah secara sukarela dalam usaha membantu memulihkan akidah jemaah GISBH.
Beliau memaklumkan, setakat ini KDH belum menerima ahli GISBH untuk proses pemulihan akidah namun kerajaan negeri melalui agensi dan jabatan berkaitan akan memastikan pelan pemulihan akidah dapat dilaksanakan dengan berkesan dan menyeluruh kepada ahli GISBH di Pulau Pinang.