CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 49635|Reply: 0

[Kedah] Ingatkan beguk, rupanya kanser

[Copy link]
Post time 29-10-2024 10:40 AM | Show all posts |Read mode
Ingatkan beguk, rupanya kanser

Zuliaty Zulkiffli[email protected]




Sharifah Azizah Syed Rohazad (kiri) menunjukkan kesan bengkak di leher suaminya, Norhazil Nanyan kepada Pengerusi CSM, Zuraini Kamal yang mengunjungi rumah mereka di Jalan Bunga Raya, Tongkang Yard. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI





Alor Setar: "Saya hilang deria rasa dan bau, malah sukar untuk menelan air serta makanan kerana tiada air liur akibat kerosakan kelenjar air liur sejak menghidap kanser leher dan hidung, tahun lalu."

Begitu kata Norhazil Nanyan, 46, yang disahkan menghidap kanser itu selepas menyedari terdapat benjolan di lehernya seperti sebesar telur ayam.

Menurutnya, pada mulanya dia menyangka bengkak itu disebabkan penyakit beguk dan berusaha untuk mengecutkannya dengan meletakkan sarang angkut-angkut, menyapu minyak serta pelbagai cara lain tetapi tidak menjadi.

"Disebabkan bimbang bengkak tidak susut, saya terus mendapatkan rawatan di klinik kesihatan berhampiran, namun doktor merujuk saya kepada pakar di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).

"Pakar mengesyaki ada ketumbuhan dan mengambil sampel pada bahagian bengkak itu ketika melakukan pemeriksaan lanjut dalam hidung.

"Namun kira-kira dua minggu kemudian, saya dimaklumkan menghidap kanser ini dan saya perlu reda dengan ketentuan Ilahi," katanya ketika ditemui di rumahnya di Jalan Bunga Raya, Tongkang Yard di sini, semalam.

Tukang rumah itu berkata, dia terpaksa berulang-alik ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk mendapatkan rawatan susulan dan memerlukan banyak wang untuk menjalani kemoterapi serta radioterapi.

Katanya, setiap kali ke Pulau Pinang, dia pergi seorang diri menaiki komuter dari Alor Setar dan turun di Butterworth, Pulau Pinang sebelum mengambil teksi atau bas untuk ke HPP.

"Saya teruskan niat melakukan rawatan walaupun agak meletihkan dan setakat ini sudah menjalani kemoterapi dan radioterapi sebanyak 35 kali.

"Pada masa sama, saya bersyukur kerana isteri Sharifah Azizah Syed Rohazad, 40, yang bekerja sebagai tukang cuci banyak membantu.

"Sekarang ini, saya bersyukur kerana menerima bantuan bulanan daripada Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) sebanyak RM400 dan wang itulah saya gunakan untuk ke Pulau Pinang," katanya.

Keluarga itu mempunyai lima anak iaitu tiga daripadanya masih bersekolah, manakala anak kedua berusia 20 tahun baru menyambung pengajian di Universiti Utara Malaysia (UUM).

Katanya, dia kini tidak dapat membayar bil elektrik dan air yang tertunggak selama tiga bulan selain mengehadkan pembelian barangan dapur.

Orang ramai yang ingin membantu keluarga ini boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Rakyat 220021395723 atas nama Norhazil Nanyan.

Sementara itu, Pengerusi Cancer Survivors Malaysia (CSM) Zuraini Kamal turut mengunjungi Norhazil bagi memberi sokongan selain membantu melangsaikan tunggakan bil elektrik dan air selama tiga bulan.



Disiarkan pada: Oktober 29, 2024 @ 7:01am

https://www.hmetro.com.my/utama/2024/10/1149349/ingatkan-beguk-rupanya-kanser




Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

30-11-2024 05:34 PM GMT+8 , Processed in 0.048061 second(s), 12 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list