|
KETIKA spekulasi mengenai perceraian Abhishek Bachchan dan Aishwarya Rai terus menjadi polemik, keyakinan peminat terhadap keutuhan hubungan pasangan popular itu masih menebal.
Menerusi perkongsian dalam laman sosial, sebuah video yang pernah tular pada 2016 dikongsikan semula untuk tatapan khalayak.
Biarpun suami Aishwarya itu masih mengunci mulut daripada melayan gosip keruntuhan rumah tangga mereka, video berkenaan seolah-olah menggambarkan keteguhan ikatan yang dimeterai pada 2007.
Dalam hantaran tersebut, Abhishek seperti memberi gambaran, khabar perceraian mereka tidak benar, malah mereka masih suami isteri.
“Maaf kami masih berkahwin, tiada berita sensasi untuk anda,” katanya ketika diminta mengulas gosip pergolakan dalam rumah tangganya.
Lapan tahun dahulu mereka juga pernah didakwa bercerai, justeru khalayak tetap tertanya-tanya sama ada gosip yang tercetus tahun ini sekadar berita palsu atau ada kebenarannya.
Sumber : Kosmo |
|