Berita semalam
Kerugian pelaburan RM43.9 juta: Khazanah, PNB, FashionValet perlu beri penjelasan - Fahmi
KUALA LUMPUR: Khazanah Nasional Berhad (Khazanah), Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan FashionValet Sdn Bhd (FashionValet) perlu memberikan penjelasan berhubung kerugian pelaburan berjumlah RM43.9 juta yang dialami dua syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) itu dalam FashionValet. Jurucakap kerajaan MADANI, Fahmi Fadzil, berkata ramai dalam kalangan rakyat membangkitkan persoalan mengenai kerugian itu sehingga pelbagai kandungan berkaitan dimuat naik dalam media sosial. "Sudah tentu ramai yang bertanya mengenainya kerana ia adalah dana awam. Bagaimanapun untuk berlaku adil kepada semua pihak, baik Khazanah atau FashionValet, kita perlu memberi sedikit masa kepada mereka untuk memberikan penjelasan. "Saya percaya mereka akan mengeluarkan kenyataan mengenainya dalam masa terdekat demi kepentingan awam," katanya.
Beliau yang juga Menteri Komunikasi, berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Deepavali MADANI 2024, di sini, hari ini. Dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, Isnin lalu, Kementerian Kewangan, memaklumkan, Khazanah dan PNB memperoleh RM3.1 juta hasil penjualan saham dalam platform e-dagang fesyen, Fashion Valet kepada syarikat Bumiputera, NXBT Partners pada 2023.
Jumlah itu diperoleh berbanding pelaburan RM47 juta yang dibuat Khazanah dan PNB pada 2018, masing-masing RM27 dan RM20 juta untuk pegangan minoriti dalam Fashion Valet. Sementara itu mengulas pertemuannya dengan Meta Platforms Inc (Meta), kelmarin, Fahmi berkata, beliau membaca laporan mengenai Meta meminta lebih masa berhubung pelesenan media sosial, namun kerajaan tidak boleh lagi bertolak ansur dengan penipuan 'scammer' dan ancaman pedofilia di platform berkenaan. "Kita tidak boleh memberikan lebih masa kepada 'scammer' dan kumpulan pedofilia yang berleluasa sekarang. Terdapat aduan orang awam mengenai kewujudan kumpulan pedofilia ini sehingga ada yang mempunyai puluhan ribu orang (pengikut) dan beroperasi bertahun lamanya. "Jadi, saya tidak faham kenapa Meta hendak mempertahankan kumpulan 'scammer' dan pedofilia ini. Kita sudah arah supaya dilesenkan, lesenkanlah," katanya. Fahmi juga menafikan dakwaan bahawa tiada perbincangan berhubung arahan itu, sebaliknya beliau menjelaskan mesyuarat telah diadakan sejak awal tahun, termasuk lawatannya ke Singapura untuk bertemu dengan wakil Meta. Mengenai dakwaan bahawa langganan aplikasi ChatGPT akan dikenakan cukai pula, beliau berkata, perkara itu tidak pernah dibincangkan pada peringkat Jemaah Menteri. "Kita tahu sebarang cukai yang ingin dikenakan perlu dibawa untuk kelulusan di Parlimen, bukan sekadar pada peringkat Jemaah Menteri. "Kita tidak dengar perkara itu dalam pembentangan Belanjawan 2025, maka bagi saya, itu (khabar angin berkenaan) tidak boleh dilayan," katanya.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil. - FOTO BERNAMA
|