Edited by maklukpenggoda at 8-11-2024 03:05 PM
Memandangkan ketegangan perdagangan AS-China semakin meningkat, Malaysia dijangka mencatatkan permintaan eksport yang lebih tinggi daripada syarikat AS yang mencari produk di luar China.
KUALA LUMPUR: Strategi 'China Plus One' dijangka lebih pesat susulan Donald Trump diundi semula sebagai Presiden Amerika Syarikat (AS), yang akan memberi manfaat kepada Malaysia melalui peningkatan pelaburan dan potensi eksport lebih cerah.
Perkara itu membabitkan sektor terutamanya elektronik, jentera dan minyak sawit.
Ahli Ekonomi Kanan CIMB Securities, Vincent Loo dalam membuat jangkaan itu berkata, kembalinya Trump ke Rumah Putih mengukuhkan trajektori peningkatan tarif dan dasar perlindungan AS, termasuk cadangan tarif 10 peratus ke atas semua barangan import dan tarif khusus 60 peratus ke atas barangan dari China.
"Ini membuka peluang pertumbuhan eksport dalam sektor bernilai tinggi," katanya menerusi nota penyelidikan pada Khamis.
Beliau berkata, pelaburan langsung asing (FDI) di Malaysia dijangka meningkat apabila kalangan syarikat itu mencari asas pembuatan yang stabil di rantau ASEAN, dengan negara ini muncul sebagai destinasi yang kompetitif susulan infrastruktur yang baik dan kos pengeluaran yang agak rendah.
"Bagaimanapun, ketidakpastian baharu mengenai perdagangan boleh menimbulkan sentimen enggan ambil risiko dalam pasaran kewangan.
"Ini mendorong pelabur mencari aset selamat, yang menyokong pengukuhan dolar AS manakala aliran keluar modal dari pasaran yang sedang pesat membangun termasuk Malaysia akan menjadi lebih ketara," katanya.
Loo berkata, tarif lebih tinggi ke atas barangan dari China mungkin mendorong syarikat AS mengalihkan penyumberan dari China kepada Malaysia, sekali gus meningkatkan permintaan eksport terhadap komponen semikonduktor dan elektronik Malaysia.
Bagaimanapun, jika ketegangan perdagangan semakin buruk, permintaan keseluruhan mungkin menurun, menyebabkan pengurangan eksport ke AS dan China, katanya.
Beliau berkata, eksport jentera dan peralatan Malaysia dijangka mendapat manfaat apabila AS mencari alternatif kepada produk China, sama seperti eksport elektrik dan elektronik (E&E).
"Bagaimanapun, tarif lebih tinggi dan halangan perdagangan boleh meningkatkan kos dan mengurangkan permintaan perdagangan global, dan ini memberi kesan kepada jumlah perdagangan Malaysia," katanya.
Sementara itu, dasar tenaga 'America First' oleh Trump dengan penekanan untuk meningkatkan pengeluaran AS, boleh menurunkan harga tenaga global, mengurangkan nilai eksport bahan api mineral Malaysia, katanya.
CIMB Securities mengekalkan unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada 5.2 peratus pada 2024 dan 5.0 peratus untuk 2025 walaupun prospek eksport-import mungkin menghadapi risiko meningkat berikutan peningkatan aliran perdagangan yang tidak menentu dan ketidaktentuan dalam paras pertukaran asing.
"Kami terus menjangka pemulihan permintaan luaran yang dipacu kitaran semula teknologi global, serta perbelanjaan domestik yang kukuh disokong oleh pelaburan yang teguh dan perbelanjaan pengguna yang berdaya tahan," kata Loo.
BH
|